RSS
 

Coklat Menstabilkan Emosi

31 Oct

Coklat merupakan sejenis makanan yang digemari oleh kebanyakan kanak-kanak dan wanita. Bukan sahaja disebabkan rasanya yang enak tetapi peminat-peminat coklat menganggap ianya merupakan makanan yang unik, istimewa dan ada kelas.

Selain daripada mempunyai perbagai khasiat yang diperlukan oleh tubuh manusia, coklat juga begitu sinonim dengan ungkapan positif emosi seperti sayang, rasa cinta dan keceriaan. Kajian di Jepun menunjukkan bahawa polifenol dapat menghalang perubahan sikap emosi di bawah tekanan fizikal dan berupaya mengurangkan tekanan. Justeru coklat juga menyumbang kepada kecerdasan emosi.

Lemak koko yang terdapat pada coklat mengandungi 34-36 peratus asid oleic yang boleh berfungsi sebagai perapi, 31-35 peratus asid stearik yang berupaya melembapkan kulit dan Vitamin E yang bertindak sebagai antioksidan.

Secara perbandingan, coklat mengandungi lebih kandungan protein berbanding dengan sebiji pisang, sebatang lobak merah, sebiji oren, sebiji epal atau sejumlah kismis dengan berat yang sama. Kajian telah membuktikan bahawa coklat mengandungi khasiat makanan yang seimbang.

Walau bagaimanapun, pastikan coklat yang dibeli adalah coklat tulin (real chocolate) yang diperbuat daripada lemak koko.
(Rujukan -Chocolate: Facts On Health and Nutrition For Educators and Health Professionals, Chocolate Manufacturers Association of the USA)

Share/Save/Bookmark

 
 

11 TIPS MEMUPUK MINAT ANAK-ANAK MENABUNG

18 Oct
Ramai anak-anak tidak mempunyai tabiat menabung sejak kecil; hasilnya bila dah besar tak lekat duit…betul atau tidak?, Jom kita pastikan anak-anak menabung setiap hari walaupun 10 sen. Bak kata Pepatah Melayu #Sedikit, sedikit, lama-lama jadi bukit.
11 Tips Memupuk Minat Menabung:
  1. Bantu anak-anak merancang perbelanjaan harian
  2. Tanya apa yang anak beli di sekolah supaya dia rasa kita ambil berat tentang wang dan perbelanjaan
  3. Beri wang mengikut keperluan, beri lebih hanya jika ada keperluan tambahan pada hari tersebut
  4. Jamgan ikut 100% kehendak mereka, ajak mereka berfikir samada perlu beli sekarang, ditangguhkan dahulu atau tidak perlu sangat.
  5. Sentiasa buat perbandingan harga dan kualiti ketika membeli belah bersama anak agar mereka dapat menilai wang dan mencontohi budaya berbelanja
  6. Beri gambaran kepada mereka bagaimana kalau tidak menabung dan tiada wang
  7. Beri gambaran kepada mereka bagaimana dengan wang tabungan kita boleh membeli apa yang kita hajati dengan mudah dan terancang
  8. Menggunakan buku wang saku atau merekod perbelanjaan harian
  9. Menyertai ahli kelab-kelab dan aktiviti berkaitan kewangan di sekolah
  10. Sentiasa berpesan agar jangan biasakan meminjam dari rakan, ada duit baru belanja
  11. Ibu bapa perlu amalkan bijak belanja supaya mudah dicontohi
Walaupun penerapan menabung dilakukan berterusan, sekali sekala perlu menggalakkan membeli hadiah atau bertukar hadiah di kalangan adik beradik atas sesuatu sebab yang sesuai seperti hari jadi, pencapaian cemerlang dan sebagainya bagi mengikis sifat kedekut dan mengeratkan tali persaudaran serta mewujudkan kasih sayang di antara mereka.
p/s Jom SHARE :)

Share/Save/Bookmark

 
 

INFLASI SEBAGAI CABARAN GETIR TERHADAP PROSES PENDIDIKAN ANAK MASA HADAPAN

22 Sep

Isu harga barang naik sering menarik perhatian semua orang, malah ianya sukar untuk dihapuskan di mukabumi ini. Walaupun bukan tindakkan kerajaan menaikkan harga minyak atau mengurangkan subsidi minyak, faktor inflasi pasti menyebabkan harga barang bertambah dari masa ke semasa. Inflasi dikaitkan dengan nilai wang yang semakin kecil setiap tahun dan akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita.

Wang RM1.00 hari ini masih boleh digunakan untuk membayar secawan kopi (sesetengah tempat dah tak dapat dah..), sudah tentu dengan wang RM1.00 yang sama tidak cukup untuk membayar secawan kopi di kedai yang sama pada 5 tahun akan datang. Tahun 80an, murid sekolah rendah cukup dengan rm0.20 sehari, tahun 2013 purata wang untuk belanja sekolah anak adalah rm2.00 sehari. Itu pun kalau satu sesi saja. Manakala kos untuk mengikuti kursus ijazah kini juga telah mencecah ratusan ribu (bergantung kepada bidang kursus). Bayangkan berapa banyakkah wang yang perlu disediakan oleh anak cucu kita untuk pendidikan anak di zaman mereka kelak.

Ramai ibu bapa yang sedar perkara ini, dan berjaya bertindak dengan tepat dan sistematik untuk mendepani inflasi dengan berbagai cara, samada melalui pembelian asset, pelaburan dan sebagainya. Untuk diri kita mungkin lepas, tetapi adakah anak-anak kita juga berjaya berdepan masalah ini?.

Dengan hanya memberi pendidikan akademik semata-mata belum memadai tanpa kita berjaya membentuk sikap anak-anak tentang kesedaran kewangan. Ilmu kewangan bakal membantu generasi akan datang untuk lebih bersedia menjalani kehidupan ini dengan lebih baik selain berpegang dengan ajaran agama. Ajaran agama yang menuntut ummatnya supaya TIDAK BOROS, TIDAK MEMBAZIR, HIDUP SEDERHANA dan lain-lain lagi adalah selari dengan usaha mendepani masalah inflasi yang tiada belas kasihan.

Sehubungan dengan itu, perkara yang lebih penting adalah kesedaran anak-anak tentang nilai wang, kepentingan berjimat cermat dan memupuk tabiat menabung. Biasanya sifat boros anak-anak dapat dikesan sejak mereka masih kecil, oleh itu menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk sama-sama berusaha mendidik kesedaran kewangan seawal mungkin.

Sekiranya anak-anak mampu maju di dalam akademik, ini adalah satu kelebihan untuk mereka dan teruskan memberi sokongan yang terbaik. Sebaliknya apabila ibu bapa mendapati anak-anak tidak ‘seberapa’ di dalam akademik, bantulah mereka meneroka kemahiran yang sesuai dengan minat mereka di samping menerapkan ilmu kewangan. In sya Allah, dengan ini kita sedang membantu mereka berhadapan dengan masalah inflasi dan kenaikan harga barang yang sukar dipisahkan daripada perjalanan hidup kita sebagai seorang insan..

Rumusan yang boleh dibuat adalah perlunya ilmu kewangan diterap kepada anak-anak sejak kecil. Anak-anak yang berpegang teguh dengan ajaran agama di samping mempunyai ilmu kewangan yang baik lebih bersedia menghadapi cabaran inflasi yang kejam. Selain itu, kesedaran kewangan yang mendalam di kalangan anak-anak mampu melonjakkan motivasi anak-anak untuk lebih berusaha bersungguh-sungguh di dalam pelajaran demi mengharapkan kedudukan kewangan yang lebih baik…wa Allahu ‘alam..

p/s Antara pihak yang boleh membantu masalah kewangan: www.akpk.com.my

~ Hidup sederhana, kunci kebebasan kewangan sekeluarga~

Share/Save/Bookmark

 
 

Aidil Fitri – Masa Berkualiti Untuk Anak

04 Aug

Antara perkara yang boleh menyumbang kepada kejayaan mendidik anak adalah dengan menggunakan masa secara berkualiti bersama anak. Tidak dinafikan dewasa ini, masa bersama antara ibu bapa dan anak-anak semakin singkat bagi kebanyakan keluarga. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya yang menuntut mereka meluangkan lebih banyak masa samada di pejabat atau sebarang aktiviti harian.

Oleh itu menggunakan masa berkualiti bersama anak-anak adalah salah satu kaedah terbaik untuk membina institusi keluarga yang harmoni dan membendung gejala tidak sihat daripada memerangkap anak-anak kita. Antara perkara yang boleh dilakukan untuk memanfaatkan masa secara berkualiti bersama anak-anak adalah makan bersama, membawa anak-anak bercuti, menemani anak-anak belajar, aktiviti kekeluargaan, melibatkan diri di dalam aktiviti anjuran sekolah dan sebagainya..
Mengikut satu kajian di Columbia University, anak yang sering makan bersama ibu bapa kurang terlibat dalam masalah sosial.

Kehadiran bulan Ramadhan dan Aidil Fitri adalah satu peluang yang baik untuk ibu bapa menggunakan masa secara berkualiti bersama anak-anak yang sukar diperolehi pada masa lain..

Apa yang boleh kita lakukan:
1. Bawa anak-anak solat Terawih (bergantung pada umur)
2. Bawa anak-anak beli baju raya, terapkan sekali prinsip berjimat cermat dan belanja mengikut keperluan dan kemampuan.
3. Bawa anak-anak solat sunat Aidil Fitri (bergantung pada umur)
4. Tentukan masa makan bersama
5. Bawa anak-anak menziarahi keluarga/kunjung mengunjung terutama ibu bapa kita
6. Main bunga api bersama – tetapi jangan berlebihan dan utamakan keselamatan
7. Melakukan persiapan bersama seperti pasang langsir, bakar lemang dan sebagainya
8. Dan lain-lain lagi seumpamanya…

Saya senaraikan 7 cadangan, anda boleh tambah lagi perkara-perkara yang dapat dilakukan bersama-sama sepanjang musim perayaan bersesuaian dengan cuti yang telah kita peruntukan untuk berhari raya. Dengan ini hari raya kita lebih bermakna dan memberi manfaat yang lebih dalam proses mendidik anak.

“Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1434H”

Share/Save/Bookmark

 
 

Doa Menjelang Lailatul Qadar 2013

28 Jul
Syukur.. Alhamdulillah, kini telah masuk penghujung fasa kedua
Ramadhan.. Hanya tinggal satu fasa terakhir untuk kita merebut ganjaran yang
disediakan’khas’ di bulan Ramadhan.. Pastinya ramai telah mendapat manfaat dan
hikmah daripada ‘Universiti Ramadhan’ tahun ini meskipun belum tamat sebulan.. Selepas
ini kita terpaksa menunggu sebelas bulan lagi untuk menemui Ramadhan akan datang.
Itu pun kalau dipanjangkan umur kita.. Oleh itu janganlahkita lepaskan peluang yang ada.
Walaupun ‘Hari Raya’ menuntut kita melakukan persiapan di
saat-saat akhir Ramadhan, semakin hebat pula tawaran daripada Allah s.w.t. Iaitu malam Lailatul_Qadar yang digalakkan
kita mendapatkannya pada 10 malam terakhir Ramadhan sebagaimana hadis yang diriwayatkan
oleh Aisya r.a iaitu “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada
10 hari yang terakhir bulan Ramadhan”. Yang mana ganjarannya adalah bersamaan
seribu bulan. Inilah satu peluang mendoakan buat anak-anak agar cemerlang dunia dan akhirat.
Antara waktu berdoa yang makbul selain 2/3 malam ialah sebelum iftar.
Kepada ibu bapa yang menjanjikan ganjaran untuk anak-anak
yang belajar berpuasa atau berpuasa penuh, sediakanlah hadiah sewajarnya… Kalau
boleh biarlah hadiah yang diberikan bermanfaat, tidak melalaikan tetapi disukai
mereka. Walaupun nampaknya puasa mereka disebabkan ganjaran yang dijanjikan
ibubapa tetapi amalan mulia yang diterapkan oleh ibu bapa tersebut akan menjadi
kebiasaan kepada anak-anak sehingga mereka dewasa kelak.
“Selamat berpuasa dan beribadah di Lailatul Qadar”

Share/Save/Bookmark

 
 

MALAYSIAKU TERCINTA

09 May

Penting juga anak-anak mempunyai semangat patriotik bagi mempunyai nilai rasa tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan negara bangsa.. Lantas boleh diterjemahkan ke dalam diri bagi menempa kejayaan cemerlang, demi menebus maruah diri dan keluarga..

MENTERA PATRIOT BANGSA

Kita langsir keris pusaka,

Dari cita semangat waja,

Biar membara dupa bangsa,

Dengan tangkas pencak,

Sang wira di medan laga,

Keramat loknya ditempa pandai besi,

Ditinta kursani digenggaman pejuang sejati,

Hei, tangkas langkahmu di tengah gelanggang,

Bagai kijang bermukim dihutan,

Kemas pencakmu berhadapan lawan,

Bagai sang harimau siaga menerkam,

Hei, jati diri kau pasakkan,

Musuh kau tumbangkan,

Rantai penjajah kau leburkan,

Tegak sendi maruah bangsa,

Pencak budi memaknakan merdeka.

Oleh: Shukri Abdullah

Share/Save/Bookmark

 
 

Motivasi Anak Belajar Melalui Penetapan Matlamat e-pintar

28 Jan

 

Ramai anak-anak yang pergi sekolah hari-hari tetapi tidak mempunyai matlamat yang jelas. Dengan matlamat yang jelas, anak-anak akan belajar dengan bersungguh-sungguh selari dengan matlamat yang ingin dicapainya. Iaitu semakin besar cita-cita, makin kuat dia belajar.

Yang paling penting adalah mereka hendaklah faham apa yang dicita-citakan oleh mereka itu, apa manfaat yang bakal mereka perolehi dan bagaimana keadaan mereka apabila cita-cita mereka tercapai kelak.

Bagaimana kita membantu mereka?

Kalau kita mempunyai anak (anak buah pun boleh juga :) …), minta mereka mengambil sekeping kertas bersaiz sekurang-kurangnya A4. Kemudian buat satu bulatan di tengah-tengah kertas berkenaan bersaiz lebih kurang 3-5 cm garis pusat. Lekatkan gambar atau lukis wajah mereka pada bulatan tersebut.

Lepas tu, minta mereka sendiri membayangkan dan melukis apa yang bakal mereka miliki selepas 20 tahun dari sekarang berdasarkan cita-cita mereka itu seperti rumah, kereta, situasi pekerjaan/kerjaya, keluarga dan sebagainya di sekeliling bulatan gambar tadi. Setelah selesai, lekat kertas berkenaan pada tempat yang senang dilihat setiap hari… Insya Allah, motivasi belajar anak-anak akan meningkat…….

Tips ini bukan sahaja boleh digunakan oleh anak-anak, malah ibu bapa juga boleh menggunakannya untuk tujuan memotivasi diri ke arah pencapaian matlamat dalam hidup di dunia mahupun akhirat..  

Share/Save/Bookmark

 
 

MOTIVASIKAN DIRI MELALUI KEGAGALAN ORANG LAIN

27 Dec

Keputusan beberapa peperiksaan besar di Malaysia bagi tahun 2012 telah pun diumumkan. Ada yang gembira, ada yang berdukacita dan ada juga yang tak ada rasa apa-apa :( Tetapi bagi ibu bapa yang telah banyak berkorban masa dan wang ringgit untuk persekolahan anak, semestinya menaruh harapan yang menggunung untuk kejayaan mereka. Pastinya ibu bapa berkenaan mengalami perasaan yang sangat mendalam samada gembira atau sebaliknya.

Apa yang boleh dikatakan hasil daripada keputusan peperiksaan yang diperolehi oleh calon-calon terlibat adalah ‘perjuangan mesti diteruskan’. Kurang cemerlang di dalam peperiksaan PMR, boleh ditebus di dalam SPM. Kegagalan di dalam ujian pertama juga bisa ditebus kembali di dalam ujian kedua, begitulah seterusnya.

Sekali gagal bukan bererti akan gagal selama-lamanya.

Seringkali kita mendengar orang berkata bahawa kita harus ‘Belajar Daripada Kegagalan’. Kalau dah gagal biasanya kita akan mempunyai perasaan sesal. Bagi orang yang berfikiran negatif, kegagalan akan diikuti oleh kekecewaan dan putus asa. Manakala orang yang berfikiran positif pula akan menjadikan kegagalan sebagai iktibar dan lebih bersemangat untuk menebus kegagalan yang lalu. Oleh itu kejayaan yang akan diraih itu lebih terasa nikmat kerana ianya telah melalui liku-liku sukar yang merupakan sejarah kejayaan yang menarik.

Namun pada hakikatnya kita telah kehilangan jumlah masa tertentu untuk mencapai kejayaan lebih awal. Seseorang yang bijak, tidak perlu tunggu gagal dahulu baru hendak berjaya. Sebaliknya mengambil pengajaran daripada pengalaman kegagalan orang lain. Jadi, kegagalan orang lain tersebut merupakan motivasi dan sempadan untuk kejayaan yang cemerlangan. Lantaran, tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa ‘Belajar Daripada Kegagalan Diri Sendiri’ perlu diubah kepada ‘Belajar Daripada Kesilapan Orang Lain’.

Sebagai kesimpulan, marilah kita persiapkan diri untuk memperolehi kecemerlangan diri di dalam apa sahaja bidang pada tahun 2013 ini dengan lebih bermakna selari dengan moto ‘Motivasikan Diri Menerusi Pengalaman Kegagalan Orang Lain’

Akhir kata, kejayaan adalah pilihan diri sendiri………Hayati kata-kata di bawah dengan sepenuh hati:

“The heights by great men reached and kept,
Were not attained by sudden flight,
But they, while their companions slept,
Were toiling upward in the night.”

“SELAMAT TAHUN BARU 2013”

Share/Save/Bookmark

 
 

Membantu Anak Di Sekolah Berasrama Menghadapi Peperiksaan

05 Oct

Musim peperiksaan utama di Malaysia kembali lagi… Kalau artikel-artikel sebelum ini kami berikan tips teknik belajar dan menyiapkan diri menghadapi peperiksaan, kali ini kami cuba berkongsi beberapa tips mudah bagaimana ibu bapa dapat menyumbang ke arah kecemerlangan akademik anak-anak yang tinggal di asrama.

Pelajar-pelajar di asrama agak berbeza dalam banyak perkara dengan pelajar yang tinggal di rumah. Sekiranya anak-anak bersekolah harian dan tinggal di rumah, masih ada peluang ibu bapa menyediakan mereka tuisyen dan memantau secara khusus.

Manakala para pelajar di asrama, terikat kepada peraturan-peraturan yang agak ketat. Program-program kecemerlangan akademik akan dikendalikan oleh pihak sekolah. Oleh itu, penglibatan ibu bapa agak minima di dalam program-program kecemerlangan pelajar.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang tinggal di asrama sebagai persediaan sebelum peperiksaan:

1. Lawatan lebih kerap ke asrama sebagai simbolik menyatakan sokongan ibu bapa terhadap mereka.

2. Memberikan kata-kata dorongan yang berterusan samada semasa lawatan, dalam telefon atau seumpamanya..

3. Jangan dedahkan permasalahan yang berlaku di dalam keluarga kepada anak-anak.

4. Bekalkan air mineral untuk minuman. Minum sebaik sahaja bangun tidur di awal pagi dengan segelas air mineral dan jadikan sebagai amalan tetap harian untuk kesihatan berterusan tubuh dan minda.

5. Bekalkan pemakanan tambahan yang baik untuk minda seperti kismis, kurma atau seumpamanya.

6. Jangan memberi tekanan atau ancaman yang bertujuan supaya mereka belajar. Sebaliknya berikan kepercayaan kepada mereka di samping mengingatkan tentang cita-cita dan matlamat mereka.

7. Ibu bapa perlu libatkan diri dalam program-program yang berkaitan dengan kecemerlangan pelajar seperti program solat hajat, restu ilmu dan sebagainya yang dianjurkan pihak sekolah.

8. Wujudkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah. Dengan demikian, anak kita mendapat perhatian yang lebih daripada pihak sekolah selaku ibu bapa kedua kepada anak-anak kita.

9. Sediakan keperluan peperiksaan secukupnya seperti pen, pensil, pemadam dan sebagainya selewat-lewatnya seminggu sebelum peperiksaan.

10. Ingatkan anak-anak supaya sentiasa mematuhi peraturan sekolah. Ini adalah bagi mengelakkan daripada apa-apa tindakan tatatertib atau seumpamanya dikenakan terhadap mereka pada saat-saat akhir menghadapi peperiksaan.

11. Ingatkan anak-anak supaya menjauhi dosa. Dosa boleh menggelapkan hati. Oleh itu perlulah sentiasa bertaubat daripada segala dosa samada dosa yang disedari atau tidak.

12. Perbanyakkan solat hajat. Doakan agar kesihatan anak-anak sentiasa dalam keadaan baik serta doakan agar diberkati dalam pelajaran, mudah menerima ilmu, mudah menjawab sewaktu peperiksaan serta berjaya dengan cemerlang.

Semoga tips yang ringkas ini, sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa membantu anak-anak di asrama menghadapi peperiksaan. Akhir sekali doa dan redha ibu bapa terhadap anak-anak sangat penting bagi menggapai kecemerlangan mereka.

Share/Save/Bookmark

 
 

Tadika Online Score A – Preschool

21 Mar

Score A – PreSchool ialah tadika online yang direka khas untuk kanak-kanak antara 4-6 tahun. Aktiviti pembelajaran yang menarik merangkumi kandungan pembelajaran beranimasi, aktiviti pembelajaran interaktif serta games pendidikan. Semua aktiviti pembelajaran dibentuk memenuhi kurikulum prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (Malaysian Ministry of Education). Ianya mempunyai pendekatan bersepadu dan menyeluruh yang berupaya membangunkan potensi kanak-kanak. Rekabentuk pembelajaran juga mengambilkira peringkat perkembangan kanak-kanak dan sekaligus membangunkan kemahiran dan minat terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kurikulum

Kandungan pembelajaran yang dibangunkan di Score A – PreSchool memenuhi kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kanak-kanak akan dibahagi kepada dua kumpulan berdasarkan 2 peringkat iaitu PreSchool 1 and PreSchool 2 seperti berikut:

PreSchool 1 • Umur 4 – 5 tahun
PreSchool 2 • Umur 5 – 6 tahun

Rekabentuk pembelajaran adalah berdasarkan prinsip-prinsip pembelajaran secara praktikal yang mana menepati Constructivism Learning Theory. Melalui program Score A PreSchool ini, kanak-kanak berupaya membina pengetahuan mereka berdasarkan kadar pencapaian mereka. Dan membangunkan kemahiran berfikir mereka di dalam menyelesaikan pelbagai masalah pembelajaran bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Read the rest of this entry »

Share/Save/Bookmark