RSS
 

Membantu Anak Di Sekolah Berasrama Menghadapi Peperiksaan

05 Oct

Musim peperiksaan utama di Malaysia kembali lagi… Kalau artikel-artikel sebelum ini kami berikan tips teknik belajar dan menyiapkan diri menghadapi peperiksaan, kali ini kami cuba berkongsi beberapa tips mudah bagaimana ibu bapa dapat menyumbang ke arah kecemerlangan akademik anak-anak yang tinggal di asrama.

Pelajar-pelajar di asrama agak berbeza dalam banyak perkara dengan pelajar yang tinggal di rumah. Sekiranya anak-anak bersekolah harian dan tinggal di rumah, masih ada peluang ibu bapa menyediakan mereka tuisyen dan memantau secara khusus.

Manakala para pelajar di asrama, terikat kepada peraturan-peraturan yang agak ketat. Program-program kecemerlangan akademik akan dikendalikan oleh pihak sekolah. Oleh itu, penglibatan ibu bapa agak minima di dalam program-program kecemerlangan pelajar.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang tinggal di asrama sebagai persediaan sebelum peperiksaan:

1. Lawatan lebih kerap ke asrama sebagai simbolik menyatakan sokongan ibu bapa terhadap mereka.

2. Memberikan kata-kata dorongan yang berterusan samada semasa lawatan, dalam telefon atau seumpamanya..

3. Jangan dedahkan permasalahan yang berlaku di dalam keluarga kepada anak-anak.

4. Bekalkan air mineral untuk minuman. Minum sebaik sahaja bangun tidur di awal pagi dengan segelas air mineral dan jadikan sebagai amalan tetap harian untuk kesihatan berterusan tubuh dan minda.

5. Bekalkan pemakanan tambahan yang baik untuk minda seperti kismis, kurma atau seumpamanya.

6. Jangan memberi tekanan atau ancaman yang bertujuan supaya mereka belajar. Sebaliknya berikan kepercayaan kepada mereka di samping mengingatkan tentang cita-cita dan matlamat mereka.

7. Ibu bapa perlu libatkan diri dalam program-program yang berkaitan dengan kecemerlangan pelajar seperti program solat hajat, restu ilmu dan sebagainya yang dianjurkan pihak sekolah.

8. Wujudkan hubungan baik dengan guru dan pihak sekolah. Dengan demikian, anak kita mendapat perhatian yang lebih daripada pihak sekolah selaku ibu bapa kedua kepada anak-anak kita.

9. Sediakan keperluan peperiksaan secukupnya seperti pen, pensil, pemadam dan sebagainya selewat-lewatnya seminggu sebelum peperiksaan.

10. Ingatkan anak-anak supaya sentiasa mematuhi peraturan sekolah. Ini adalah bagi mengelakkan daripada apa-apa tindakan tatatertib atau seumpamanya dikenakan terhadap mereka pada saat-saat akhir menghadapi peperiksaan.

11. Ingatkan anak-anak supaya menjauhi dosa. Dosa boleh menggelapkan hati. Oleh itu perlulah sentiasa bertaubat daripada segala dosa samada dosa yang disedari atau tidak.

12. Perbanyakkan solat hajat. Doakan agar kesihatan anak-anak sentiasa dalam keadaan baik serta doakan agar diberkati dalam pelajaran, mudah menerima ilmu, mudah menjawab sewaktu peperiksaan serta berjaya dengan cemerlang.

Semoga tips yang ringkas ini, sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa membantu anak-anak di asrama menghadapi peperiksaan. Akhir sekali doa dan redha ibu bapa terhadap anak-anak sangat penting bagi menggapai kecemerlangan mereka.

Share/Save/Bookmark

 
 

Tags: , , , , ,

Leave a Reply