RSS
 

Archive for July 4th, 2010

MEMANTAU PRESTASI PELAJARAN ANAK

04 Jul

malas belajar

Peperiksaan pertengahan atau penggal pertama peringkat sekolah telah selesai. Kini tiba pula musim menandatangani buku rekod kemajuan murid atau pelajar. Samada sekolah rendah atau menengah, malah peringkat tadika juga menyediakan sistem menandatangi buku rekod pencapaian murid sebagai satu mekanisma membantu ibu bapa melakukan pemantauan terhadap tahap pencapaian anak mereka.

Berbagai kaedah yang digunakan oleh pihak sekolah untuk aktiviti menandatangani buku rekod kemajuan, ada yang bawa balik buku rekod ke rumah, ibu bapa dijemput datang ke sekolah, sesetengah sekolah menghantar keputusan pelajar ke rumah malah kemudahan pemantauan secara online juga disediakan oleh sesetengah sekolah. Ianya bergantung kepada kreativiti pihak sekolah bagi menentukan cara yang terbaik membolehkan ibu bapa melakukan pemantauan yang paling maksima dan bakal memberi kesan terbaik kepada prestasi pelajar. Walau bagaimanapun, kebiasaannya ibu bapa dijemput untuk datang ke sekolah pada hari yang telah dikhaskan untuk menandatangani buku rekod dan bersemuka dengan guru kelas.

Umumnya, semua ibu bapa mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak, cuma kadang-kadang faktor kesibukan dengan tugas harian mereka menyebabkan ada di antara ibu bapa yang tidak dapat meluangkan masa untuk berjumpa guru pada musim ini dan hanya mewakilkan kepada orang lain (bukan pasal tengok bola ?…….). Peluang bersemuka dengan guru semasa menandatangani buku rekod kemajuan murid/pelajar yang pihak sekolah sediakan sepatutnya digunakan untuk meningkatkan prestasi anak-anak. Bukan sekadar prestasi akademik sahaja, malah perkembangan sahsiah dan potensi anak-anak juga dapat dibincangkan bersama guru pada ketika ini. Keakraban ibu bapa dan guru akan memberi suntikan motivasi kepada anak untuk lebih berusaha.

Ibu bapa pula jangan hanya mementingkan prestasi akademik semata-mata dengan mengabaikan pencapaian kecerdasan emosi dan rohani anak-anak. Terdapat juga ibu bapa yang terus memarahi anak di hadapan guru kerana tidak dapat menahan emosi sebaik sahaja mengetahui bahawa pencapaian anaknya kurang memuaskan. Seharusnya perkara tersebut dielakkan kerana ianya akan memberi kesan psikologi yang negatif terhadap anak sebaliknya nasihat dan teguran hendaklah dilakukan di rumah secara empat mata..

Dari sekarang lah kalau nak monitor prestasi pembelajaran anak-anak, lebih-lebih lagi bagi calon-calon UPSR dan PMR yang sudah semakin hampir. Sesetengan ibu bapa, malah juga para pelajar sudah merasa bahang pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR. Mereka kurang bersemangat untuk melakukan persiapan menghadapi pepriksaan UPSR dan PMR yang bakal tiba nanti. Itu.. nanti.., tahun ni belum lagi. Masa yang ada sebulan dua ini sangat-sangat berharga, faktor kesihatan pun perlu diberi lebih perhatian mulai saat ini.

Pencapaian peperiksaan pertengahan tahun yang baru sahaja berlalu perlu dijadikan ukuran terhadap tahap persediaan para pelajar samada calon-calon UPSR, PMR, SPM, STPM atau seumpamanya. Sekiranya belum mancapai tahap yang diharapkan, usaha keras ibu bapa dan pelajar perlu diteruskan. Melalui usaha yang cukup, disertai dengan doa dan bertawakkal, insyaallah kejayaan akan menyebelahi para pelajar berkenaan.

 
Tarikh-tarikh Peperiksaan 2010;

UPSR 2010 – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
Ujian Bertulis >> 21 – 23 September 2010

PMR 2010 – Penilaian Menengah Rendah
Ujian Bertulis >> 5 – 12 Oktober 2010

SPM 2010 – Sijil Pelajaran Malaysia
Amali >> 19 – 21 Oktober 2010
Ujian Bertulis >> 22 November – 16 Disember 2010

STAM 2010 – Sijil Tinggi Agama Malaysia
Ujian Lisan >> 12 – 23 Julai 2010
Ujian Bertulis >> 18 – 27 Oktober 2010

STPM – Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
Ujian Lisan >> September 2010
Ujian Bertulis >> November – Disember 2010

USAHA >> DOA >> TAWAKKAL >> KEJAYAAN

Share/Save/Bookmark

 
1 Comment

Posted in Pendidikan

 

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH S.A.W

04 Jul

Al-Quran rujukan ummah

Khutbah ini disampaikan pada 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijrah
di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang. Meminjam duit pulangannya lebih dari yang dipinjamkan ianya riba.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AL-QURAN dan SUNNAH KU

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kata ku dari mereka yang terus mendengar dari ku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu..

p/s: Di manakah kedudukan kita dan anak-anak kita???

Share/Save/Bookmark