RSS
 

Archive for June, 2010

ANAK HIPERAKTIF

24 Jun


Memahami sifat hiperaktif anak penting bagi membantu ibu bapa mengendalikannya dengan baik. Anak hiperaktif sukar duduk diam, kurang memberi tumpuan kepada sesuatu perkara dan bertindak spontan mengikut kehendak hati serta sukar mengasingkan maklumat yang diterima.

Ibu bapa yang memiliki anak hiperaktif tidak seharusnya kecewa atau menyesali tentangnya, sebaliknya bersyukur dan menganggapnya suatu anugerah dan ujian daripada Allah s.w.t..

Anak hiperaktif sangat aktif dari segi fizikal dan mental berbanding kanak-kanak lain. Ingatan mereka kuat tetapi kelemahan mereka adalah cepat bosan dan kurang memberi fokus kepada sesuatu perkara yang mana akan menjejaskan ingatan jangka panjang mereka.

Selain mereka lebih pintar dan lebih kreatif berbanding rakan-rakan seusianya, mereka bersifat berani. Inilah yang sering menjadi kebimbangan ibu bapa kerana anak hiperaktif jarang mempertimbangkan akibat daripada tindakan yang dilakukannya samada merbahayakan dirinya atau orang lain. Oleh itu, kanak-kanak hiperaktif memerlukan pengawasan rapi serta perhatian yang lebih daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa bersama mereka untuk melayani kerenah yang kadang-kadang diluar jangkaan dan memalukan. Perkataan yang diungkapkan oleh anak hiperaktif ditambah dengan sifat umum kanak-kanak yang suka berterus terang boleh memalukan rakan-rakan kita di dalam sesetengah keadaan. Walaupun jika difikirkan, memang apa yang diperkatakan mereka ada kebenarannya tetapi kebiasaannya tidak berlapik. Contohnya dengan kata-kata ‘eh.. orang tu tak tutup aurat!’ di hadapan seorang wanita muslim, telah menjadikan kita berasa segan walaupun ianya benar.

Kanak-kanak hiperaktif suka berkawan. Mereka cepat bosan sekiranya tiada kawan untuk berkomunikasi dan bermain. Ibu bapa hendaklah menyediakan dan merancang aktiviti yang pelbagai bagi mengatasi sifat cepat bosan mereka. Oleh itu ibu bapa perlu kreatif merancang pelbagai aktiviti menarik dan selamat untuk mereka.

10 tips menangani anak hiperaktif:

1. Disiplinkan anak hiperaktif dari awal dan jangan terlalu mengikuti kecenderungan mereka supaya sikap hiperaktif mereka tersebut tidak terarah kepada perkara yang negatif.

2. Sentiasa berwaspada dalam mengawasi anak-anak hiperaktif kerana ada kalanya tindakan mereka boleh membahayakan. Segera menegur dan menasihati anak hiperaktif sekiranya apa yang mereka lakukan bakal mendatangkan akibat buruk.

3. Meluangkan lebih banyak masa untuk berkomunikasi dengan mereka. Jangan sekali-kali menampakkan kebencian kita terhadap mereka walaupun sikap dan tingkahlaku mereka tersebut kadang-kala memalukan serta mencetuskan perasaan marah (bengang!!)

4. Bersabar dan tidak bertindak memukul dan memalukan mereka sekiranya melakukan kesalahan atau melanggar peraturan yang kita tetapkan. Sebaliknya cuba memberi nasihat secara rasional (….kena banyak sabaaar…).

5. Tukar perkataan “jangan” kepada ayat yang lebih mendorong mereka mengikut arahan; Contohnya apabila mereka berlari-lari di dalam rumah, biasanya ibu bapa akan menjerit “Jangan lari!!!”, cuba tukarkan kepada perkataan “Farid, boleh tak berjalan, kalau lari nanti jatuh”. Dia akan ikut kejap, pastu lari lagi… tak pe, jangan jemu memberi teguran!!

6. Jangan mengungkap kata-kata negatif seperti “kenapa la kamu ni nakal sangat”, bodoh atau seumpamanya kepada anak hiperaktif kerana kata-kata ibu bapa merupakan doa kepada mereka. (cepat-cepat ambil wuduk kalau naik marah..)

7. Pelbagaikan aktiviti bagi mengelak kebosanan. Ibu bapa perlu kreatif untuk menyediakan aktiviti atau memberi tugas mudah bagi menyibukkan mereka di dalam aktiviti yang bermanfaat. Contoh pelihara ikan, tanam bunga dan seumpamanya.

8. Cari kelebihan dalam diri mereka dan garap ke arah yang betul. Contohnya jika mereka bijak menghafal dialog di dalam tv, ajak mereka menghafal ayat-ayat pendek di dalam Al-Quran. Hafal ikut gaya iklan kegemaran atau ikut rentak nasyid (untuk permulaan hafalan).

9. Usaha berterusan mendidik anak hiperaktif hendaklah dilakukan tanpa jemu walaupun ianya lebih sukar dan mencabar berbanding kanak-kanak lain. jangan ‘give up’ walaupun terpaksa bercakap perkara yang sama kepada mereka

10. Dapatkan nasihat dan rawatan pakar sekiranya tahap hiperaktif anak kita membimbangkan.

Walaupun demikian, kebiasaannya sifat hiperaktif beransur berkurangan ketika usia mereka mulai mencecah 12 tahun.

Berdoa tanpa jemu dan akhir sekali bertawakkal kepada Allah s.w.t…….wallahu a’lam..

Share/Save/Bookmark

 
 

Cadangan Mansuh UPSR dan PMR

22 Jun

Kementerian cadang mansuh UPSR, PMR: Langkah ubah sistem pendidikan orientasi peperiksaan. 
Oleh Junita Mat Rasid
Berita Harian
2010/06/21

PAGOH: Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan pemansuhan peperiksaan itu kepada kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai. Bagaimanapun katanya, kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja. “Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu saja peperiksaan awam, seperti (contohnya) pada peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja. “Jika kita terlalu menjurus kepada peperiksaan, ia akan menyebabkan matlamat ke sekolah untuk menuntut ilmu, lebih kreatif dan menambah pengetahuan secara lebih holistik tidak akan dicapai sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pagoh, di Kompleks Seri Pekembar, di sini, semalam. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, cadangan mengekalkan satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah itu juga berkaitan dengan langkah kementerian untuk merombak sistem pendidikan dan mengubah bentuk kokurikulum di peringkat sekolah. Beliau berkata, pada masa ini, sistem pendidikan yang terlalu cenderung dengan peperiksaan menyebabkan guru terlalu fokus untuk mencapai kecemerlangan peperiksaan dan pelajar terlalu menumpukan usaha untuk cemerlang dalam peperiksaan awal saja. “Adalah lebih wajar jika penilaian pencapaian pelajar dibuat pada peringkat akhir selepas 11 tahun di sekolah iaitu dengan hanya mengekalkan peperiksaan SPM sebelum mereka menyambung pelajaran ke peringkat universiti. “Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tak pakai lagi PMR dan UPSR, orang (bakal majikan) tak tanya pun keputusan PMR atau UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan peringkat universiti yang diambil kira,” katanya. Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pihaknya tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan memansuhkan peperiksaan itu kerana perlu mengkaji implikasi lain selain mengalu-alukan pandangan semua pihak termasuk warga pendidik, pelajar dan masyarakat. Katanya, kajian pihaknya juga mendapati ada negara lain yang tidak mempunyai banyak peperiksaan seperti di Malaysia, malah ada sesetengah negara yang hanya mempunyai satu peperiksaan saja pada peringkat sekolah. “Di Malaysia, ini adalah kesan daripada sistem yang terlalu ala peperiksaan menyebabkan fokus kita hanya berdasarkan keputusan peperiksaan, semua A atau 12A+ menyebabkan kita perlu meneliti untuk mengubah sistem itu,” katanya. Beliau berkata, pengurangan peperiksaan di peringkat sekolah itu membolehkan pelajar mempunyai banyak masa untuk menumpukan kepada mata pelajaran tertentu dan kegiatan sukan, sekali gus memberi kesan positif kepada keseluruhan cara pendidikan pelajaran.”

 ———————————

Pemansuhan UPSR dan PMR serta menstruktur semula sistem pendidikan sekolah rendah dan menengah dilihat sebagai suatu idea yang baik untuk menyediakan peluang pembelajaran secara holistik. Walau bagaimanapun isu ini bakal memberi reaksi yang berbagai-bagai daripada masyarakat khususnya golongan ibu bapa dan pendidik.

Sekiranya dilihat dari pihak kerajaan sebagaimana yang dikemukan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ianya amat relaven supaya pengukuran kecemerlangan tidak hanya berdasarkan IQ semata-mata. Kurikulum yang digambarkan nanti akan memberi lebih peluang untuk mencungkil bakat dan kecerdasan dari sudut-sudut yang lebih luas seseorang pelajar. Ianya juga akan memberi peluang kepada pihak sekolah menilai dengan lebih tepat kecemerlangan seseorang pelajar.

Walau bagaimanapun unsur-unsur kecerdasan lain umpamanya EQ (emotional quotient) dan SQ (Spiritual Qutient) perlu diterapkan secara serius di peringkat sekolah bagi membentuk seseorang menjadi pelajar yang mampu menghindari diri dari berbagai ancaman gejala sosial. Penerapan kecerdasan dari sudut yang berbagai di peringkat sekolah juga bakal melahirkan pekerja yang cemerlang kelak. Sebagai contoh, pemilihan ketua-ketua jabatan atau kenaikan pangkat tidak hanya ditentukan oleh kelayakan akademik pegawai semata-mata bagi menjamin kecemerlangan sesuatu agensi. Kemahiran komunikasi, kepimpinan, integriti, disiplin dan berbagai lagi kemahiran dan sifat mulia yang perlu dimiliki oleh seorang ketua bagi menyumbang kepada kejayaan sesebuah agensi. Memiliki ijazah kedoktoran di dalam sesuatu bidang semata-mata belum pasti seseorang itu berjaya mengetuai sesuatu agensi dengan cemerlang melainkan memerlukan juga EQ yang tinggi.

Walaupun demikian, penilaian akademik masih perlu ditekankan secara berterusan di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah supaya pelajar tidak leka untuk menimba ilmu pengetahuan pada usia muda mereka. Melalui pembacaan dan ilmu yang luas, akan membantu meningkatkan keupayaan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis.

Semoga keputusan muktamat pihak kerajaan nanti akan dipertimbang dengan bijak dan mengambil kira pendapat semua pihak bagi memastikan kecemerlangan masa depan anak-anak kita terjamin.

Share/Save/Bookmark

 
3 Comments

Posted in Semasa

 

ADAB BERBICARA DALAM ISLAM

14 Jun

  1. Hendaklah bercakap dengan nada yang jelas tanpa rasa keraguan dan tidak bercakap dengan nada yang samar-samar.
  2. Jika seseorang sedang makan, maka janganlah bercakap tentang sesuatu yang menjijikkan atau yang tidak disukainya.
  3. Jangan bercakap mengenai hal orang lain, mencaci dan membuat fitnah (walaupun bercakap tentang perkara buruk yang benar-benar sah dilakukannya, ianya termasuk di dalam kategori mengumpat).
  4. Jangan memanggil seseorang dengan panggilan nama yang tidak menyenangkannya atau yang boleh memalukannya.
  5. Jangan bercakap tentang sesuatu perkara yang anda sendiri masih kurang pasti mengenai perkara tersebut.
  6. Hendaklah bercakap secara berdepan dengan bertentangan mata atau tidak bercakap di belakang untuk mengelakkan timbulnya keraguan dan salah faham.
  7. Jika seseorang sedang bercakap tentang sesuatu topik atau topik tersebut belum habis dibincangkan maka janganlah mengutarakan topik baru atau memintas perbincangan tersebut.
  8. Jangan meniru gaya percakapan orang-orang jahil tentang agama
  9. Jangan bercakap di depan orang yang sedang sakit tentang sesuatu yang mendukacitakan sebaliknya ucaplah sesuatu yang menggembirakannya.
  10. Jangan memanggil orang yang lebih tua daripada kita dengan panggilan nama sebaik-baiknya panggillah dengan nama yang memuliakan mereka.

 
“Jika engkau berada di rumah orang, hendaklah jaga matamu, jika engkau berada di antara orang ramai hendaklah jaga LIDAHMU dan jika engkau berada di dalam sesuatu majlis, hendaklah jaga perangaimu.”

 (Daripada: Ali bin Abi Talib R.A)

 

Share/Save/Bookmark

 
 

Anak Pintar Dari Perspektif Kewangan

14 Jun

Anak pintar merupakan topik yang menarik bagi seluruh ibu bapa. Skop anak pintar amat luas, walaupun kebanyakan ibu bapa hanya mementingkan kecerdasan IQ semata-mata. Walhal sesetengah pakar mengkelaskan kecerdasan minda kepada 9 jenis kecerdasan.

Skop kewangan jarang-jarang diketengahkan untuk kanak-kanak sebagai landasan asas kewangan yang kukuh pada masa hadapan mereka. Biasanya, ibu bapa sibuk merancang kewangan mereka untuk pendidikan anak-anak mereka samada melabur di dalam unit-unit amanah, tabung haji, koperasi-koperasi atau hanya melakukan simpanan di bank. Walaupun demikian, ramai yang terlepas pandang bahawa kesedaran  pada  diri anak itu sendiri perlu wujud untuk mulai belajar mengurus kewangan dengan bijak sewaktu mereka di alam kanak-kanak lagi.

Didikan untuk menjadikan anak-anak bijak mengurus kewangan sejak kecil dapat melatih mereka mengurus kewangan dengan  bijak dan bersistematik ketika dewasa. Sikap boros yang menjadi kebiasaan dan amalan harian perlu dikikis. Sebaliknya, pupuk sikap suka menabung di dalam diri mereka sebagai satu senjata utama kesejahteraan kewangan masa depan. Anak yang terlatih menyediakan perancangan kewangan sendiri, dapat menggerakkan minda mereka berfikir lebih jauh untuk membuat sesuatu keputusan kewangan. Justeru sentiasa berfikir ke arah yang menguntungan dari sudut kewangan. 

Islam sendiri menganjurkan supaya ummatnya rajin berusaha mencari nafkah dan mengelakkan pembaziran. Keupayaan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam secara tidak langsung akan menjurus ummatnya manjadi insan yang bijak mengendalikan kewangan. Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan amalan berhutang, sedangkan ramai umat Islam sendiri yang terjerumus ke dalam keadaan ‘keterberhutangan yang serius’ apabila mempunyai tabiat suka berhutang. Oleh itu keperluan dan kehendak perlu dibezakan bagi membuat keputusan kewangan secara tepat. Justeru anak-anak perlu didedahkan dengan ilmu kewangan.

~ Dapatkan maklumat kewangan di www.suntharasegar.com ~

 

Share/Save/Bookmark

 
 

PIDATO SATU MALAYSIA

14 Jun

PIDATO SATU MALAYSIA
nfmj Tahun 6 Cemerlang

Terimakasih saudara pengerusi majlis,

Assalamualaikum pembuka bicara,
Kepada hakim yang arif bijaksana,
Tak lupa juga penonton dan pengacara,
Di majlis ini kita bersua.

Yang di hormati barisan guru-guru, barisan panel hakim yang sentiasa berteraskan panji-panji keadilan, penjaga masa yang akur dengan detik-detik puakanya, barisan rakan pelajar dan sidang hadirin yang dirahmati Allah s.w.t.

Assalamualaikum  dan salam intelektual, berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk GAGASAN SATU MALAYSIA

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Tanggal 3 April 2009 yang lalu, bermulalah detik era pemerintahan  Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia yang ke 6, beliau sentiasa berusaha menyatupadukan warganegara majmuk.

Sehubungan dengan itu, beliau telah memperkenalkan kepada rakyat Malaysia satu gagasan  iaitu  GAGASAN SATU MALAYSIA. Ungkapan “RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN” adalah ‘tagline’ kepada gagasan tersebut.  Natijah pembentukannya bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan dikalangan rakyat Malaysia yang semakin pudar. Ini adalah kerana perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara tanpa perpaduan, kemajuan negara  yang ingin dicapai untuk wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjasama diperlukan untuk menjana kemajuan. Oleh yang demikian, Gagasan satu Malaysia didukungi oleh teras perpaduan manakala teras perpaduan itu pula didukungi oleh nilai-nilai murni.

Para hadirin yang saya hormati,

Seiringan dengan itu, rakyat Malaysia  yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik serta agama diseru agar bersatu-padu memupuk perpaduan bergerak membentuk satu “unity” yang mengandungi nilai-nilai aspirasi iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, keberanian, meritokrasi, kesetiaan, ketabahan, integriti dan cintakan ilmu.

Namun perpaduan hanya boleh dicapai dengan memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni, teras aspirasi dan teras perpaduan, Melalui penyatuan rakyat, negara dapat membina satu negara bangsa yang kukuh, prograsif, makmur dan muafakat, bak kata bidalan “muafakat membawa berkat”.

Para hadirin yang di rahmati Allahs.w.t.

Pembentukan Gagasan 1 malaysia adalah bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional dan seterusnya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa. Justeru itu, bagi mengaplikasikan gagasan ini, ianya memerlukan komitmen, kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga Negara Malaysia. Maka semua rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia adalah miliknya dan semua bangsa di Malaysia adalah rakyat Malaysia, Lantaran itu, sama-sama lah kita bersatu untuk membangunkan negara Malaysia nan satu menuju kearah matlamat wawasan 2020.

Akhirkata sebelum saya mengundur diri, izinkan saya sudahi pidato saya ini dengan serangkap pantun untuk renugan bersama……

               Toleransi membina  perpaduan,

               perpaduan teras kemajuan,

               gagasan satu Malaysia jadikan panduan,

               agar matlamat wawasan  jadi kenyataan.

Wabillah hi taufiq walhidayah Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh.

Share/Save/Bookmark

 

IBU BAPA SEBAGAI KAUNSELOR

08 Jun


Mendidik anak pada zaman internet berbeza dengan zaman typewriter. Ibu bapa kini perlu memiliki sedikit sebanyak kemahiran kaunseling supaya dapat membantu menyelesaikan masalah anak-anak dengan lebih berkesan khususnya anak-anak pada peringkat remaja. Cara kekerasan mendidik anak seperti mana sesetengah orang tua dulu-dulu tu.. amat tidak releven pada zaman sekarang. Perundingan diperlukan dalam mengenalpasti masalah, menyelesaikan masalah atau bertujuan memberi tugasan tertentu kepada anak.

Sebelum sebarang sesi kaunseling boleh dilakukan, pastilah ibu bapa berkenaan perlu memiliki kredibiliti yang baik dan dihormati. Sekiranya ibu bapa sendiri sering melanggari peraturan khususnya melanggar syariat agama maka pastilah misi kaunseling yang akan dilaksanakan terhadap anak-anak bakal kecundang.

10 KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING

1. MENDENGAR DAN BERI TUMPUAN

-hubungan melalui mata bagi merangsang kerjasama anak/klien
-perhatian serius pada topik perbincangan
-memancing maklumat daripada anak

2. MEMERHATI

-Fahami caragaya, pemikiran dan tingkahlaku anak di dalam interaksi
-Catatkan body language, penerangan daripada anak, situasi,
perubahan atau konflik kepada anak (catatan dilakukan selepas sesi
bagi mengelak kehilangan kepercayaan atau perasaan curiga)

3. TENTUKAN ARAH

-Tentukan arah masalah dengan jelas
-Mengambil kira isu persekitaran dalam menentukan arah
-Juruskan anak anda terhadap peristiwa atau perkara yang
dibincangkan
-Tingkatkan kemahiran membuka dan menutup perbincangan

4. KEMAHIRAN MENGEMUKAKAN SOALAN

-Soalan terbuka – jawapan berbagai/meluas
-Soalan tertutup – perlukan jawapan khusus
-Tujuan soalan adalah untuk diagnosa masalah, mengesan fakta atau
konflik yang sedang berlaku
-Dengar dahulu baik-baik dan fahami situasi sebelum bertanya
-Elak memberi soalan pertanyaan yang berbentuk mengawal

5. PERMUDAHKAN PROSES KAUNSELING

-Parafrasa dan rumusan bagi melancarkan perjalanan sesi
-Dorongan minima
-Bantu anak anda bercakap lebih spesifik dan terarah
-Jelaskan semula apa yang diperkatakan anak anda
-Tentukan kesahihan maklumat yang anda perolehi

6. MENCERMINKAN PERASAAN

-Nyatakan emosi anak anda yang terselindung (untuk memastikan)
-Beri maklumat spesifik tentang emosi anak anda
-Jelaskan emosi bercelaru yang melanda anak anda iaitu melebelkan
perasaan yang diluahkan olehnya

7. CERMINKAN MAKNA

-Nyatakan fikiran dan perasaan terpendam anak anda
-Bantu anak anda mencari erti dan takrifan pengalaman kehidupan,
kenali nilai dan matlamat hidup

8. MEMPENGARUHI

-Beri penjelasan untuk anak anda jadikan tunjuk arah / haluan sebenar
-Benarkan anak anda beri penjelasan atau penerangan
-Beri maklumbalas, takrifan masalah dan membuat rumusan: malalui
pemberian maklumat, nasihat, saranan atau konfrantasi.

9. MEMPUNYAI CIRI-CIRI KUALITATIF

-Empati – kebolehan ibu bapa menjiwai masalah anak
-Jangkaan positif – kebolehan konkritkan isu
-Menghormati, mesra dan menerima pertemuan dengan anak tanpa
sebarang syarat
-Elak daripada menilai anak dan isu yang diluahkan semasa sesi
berlangsung

10. KEBOLEHAN MEMBERI MAKLUMBALAS

-Kebolehan menyedarkan anak untuk memahami keadaan dirinya
-Mengetahui apa dan bagaimana orang lain melihat anak anda.
-Sentuh emosi anak anda

Banyak kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti remaja lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki, kes buang bayi dan sebagainya, sedikit sebanyak adalah disumbangkan oleh kelemahan ibu bapa yang tidak dapat mengesan masalah yang sedang dihadapi oleh anak mereka pada peringkat awal. Dengan sedikit kemahiran kaunseling, ibu bapa dapat menghidu perubahan yang berlaku kepada anak-anak dengan lebih cepat. Tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera. Begitu juga halnya di dalam soal pelajaran, seribu satu macam ancaman yang boleh menghalang anak-anak remaja daripada memberi tumpuan kepada pelajaran.. dan akhirnya akan menjejaskan kecemerlangan mereka.

Share/Save/Bookmark

 
 

DOA HARIAN

07 Jun

Melatih anak menghafal merupakan salah satu kaedah meningkatkan keupayaan minda. Doa-doa amalan harian amat sesuai dihafal oleh anak-anak kecil kita dan terus diamalkan di dalam kehidupan mereka sehingga bila-bila… Lagi pula, mendekatkan anak-anak kepada PENCIPTA adalah usaha mensahihkan iman mereka..

DOA KETIKA HENDAK TIDUR

Maksudnya : Dengan namaMu ya Allah aku hidup dan mati.

DOA KETIKA BANGUN DARI TIDUR

Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami selepas kami dimatikan dan kepadanya kami dikembalikan

DOA KETIKA HENDAK MASUK TANDAS

Maksudnya : Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan betina.

DOA KETIKA HENDAK KELUAR DARI TANDAS

Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan penyakit daripadaku dan menyihatkan aku.

DOA KETIKA HENDAK MAKAN

Maksudnya : Ya Allah berkatilah rezeki yang telah engkau beri kepada kami, dan jauhkan lah kami daripada azab api neraka.

DOA KETIKA SELEPAS MAKAN

Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang telah memberi kami makan dan memberi kami minum serta menjadikan kami daripada golongan orang-orang Islam.

Tontoni video di bawah untuk mendengar sebutan dengan baik…

Share/Save/Bookmark