RSS
 

Archive for August, 2010

PUASA, AL-QURAN DAN BERSUGI KUATKAN INGATAN

27 Aug

Bagi ummat Islam, telah berlalu separuh masa pertama ibadah puasa.. Kalau tarawih di masjid-masjid tu… dah mulai berkurangan jumlah makmumnya.. mungkin juga mereka sibuk melaksanakan ibadah di rumah-rumah sendiri (sangka baik..)..

Kini kita sedang menempuh fasa kedua iaitu 10 hari kedua bulan Ramadhan. Hati-hati… walaupun syaitan-syaitan yang jahat dirantai, tetapi kesan daripada godaan mereka selama sebelas bulan yang lalu menyebabkan manusia terbiasa dengan kemungkaran dan dosa sehingga menyebabkan mereka sukar membezakan pahala dan dosa..

Walaupun demikian, masih ada peluang bagi kita merebut seberapa banyak ganjaran yang disediakan bagi amalan di bulan Ramadhan. Setiap amalan fardhu akan diganjari 70 kali ganda. Manakala amalan sunat pula akan diganjari seperti amalan fardhu pada bulan-bulan lain. Khususnya..Lailatul Qadar yang mana lebih baik daripada 1000 bulan. Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Hari ini pula merupakan hari ke 17 Ramadhan, di mana tarikh Al-Quran diturunkan kepada manusia (Nuzul Qur’an – Hari Jumaat pula tu, jarang-jarang berlaku..) Panduan ummat sejagat. Para pengkaji Barat juga menjadikan Al-Quran sebagai rujukan untuk menggali ilmu sains dan teknologi. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan yang lengkap untuk menyempurnakan kehidupan insan di dunia dan akhirat..

Al-Quran merupakan mukjizat yang sangat istimewa dan mempunyai fadzilat yang sangat banyak. Melalui pembacaan Al-Quran juga, dapat menguatkan ingatan pembacanya. Jarang kita lihat orang yang sering membaca Al-Quran mengalami penyakit nyanyok.

Sebagaimana diberitakan bahawa:

“ Saidina Ali Bin Abu Talib r.a. berkata, “Terdapat tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan balgham iaitu bersugi gigi, berpuasa dan membaca al-Quran.”

Sangat elok ketiga-tiga amalan tersebut dilaksanakan bersungguh-sungguh di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini sebagai latihan. Khususnya buat anak-anak kita bagi memperolehi manfaat terhadap peningkatan kepintaran mereka di samping ganjaran pahala yang disediakan khas buat ibu bapa.

Mudah-mudahan amalan tersebut dapat diteruskan dengan tekun juga walaupun selepas Ramadhan.. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis, membaca Al-Quran dan bersugi..

Tiga perkara tersebut juga kami jelaskan lebih lanjut di dalam ebook Rahsia Anak Pintar yang boleh diperolehi melalui laman www.rahsiaanakpintar.com

Hanya tinggal 13 hari sahaja lagi Ramadhan tahun ini akan meninggalkan kita, lepas tu… 11 bulan lagi lah baru akan muncul semula… Mudah-mudahan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki kita untuk menemui Ramadhan Al-Mubarak pada tahun akan datang…

Selamat Berpuasa….

Share/Save/Bookmark

 
1 Comment

Posted in Pendidikan

 

Asuh Emosi Anak Melalui Puasa

08 Aug

Puasa
Muqaddimah

Bulan Ramadhan, bulan mulia dan penuh keberkatan yang ditunggu-tunggu oleh ummat Islam bakal menjelma tidak lama lagi. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah ke arah insan bertaqwa. Masjid dan surau akan dibanjiri dengan umat Islam khususnya untuk solat Tarawih. Kedatangan bulan mulia ini merupakan seribu rahmat buat umat Islam.

Salman radiallahu’anhu meriwayatkan:

Pada hari terakhir Sya’ban, Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kami: “Wahai manusia, kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat, terkandung di dalamnya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan. Inilah bulannya Allah memfardhukan puasa pada siang hari dan menjadikan SOLAT TARAWIH sebagai sunnah pada malam hari. Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah melalui amalan baik pada bulan ini, maka akan dibalasi kepadanya dengan ganjaran seolah-oleh dia melakukan amalan fardhu di bulan lain pada tahun itu. Dan barang siapa melakukan amalan fardhu akan dibalasi kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. Inilah sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran sejati adalah Jannah”.

“Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, di bulan inilah rezeki orang-orang beriman ditambah. Barang siapa memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya akan dibalasi dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan dibebas daripada api neraka Jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu”. Maka kami pun berkata: “Ya Rasulullah, tidak semua kami mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka”. Baginda menjawab: “Allah akan mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa”.

Puasa membentuk kecerdasan

Amalan berpuasa dapat melatih seseorang menjadi insan yang berdisiplin, sabar dan berfikiran lebih matang. Melatih anak berpuasa sejak kecil akan meningkatkan kemampuan mereka bersabar, menahan diri dari melanggar perkara-perkara yang membatalkan puasa dan berfikir dengan tenang. Oleh itu, amalan berpuasa dapat mengasuh emosi anak ke arah yang lebih stabil. Lantaran, kebiasaan berpuasa dapat meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan meningkatkan kemampuan kanak-kanak berinteraksi dengan baik.

Seringkali kita mendengar bahawa berpuasa sangat baik untuk kesihatan fizikal manusia, dapat mencegah daripada berbagai penyakit. Organ-organ yang berkaitan dengan pencernaan diringankan tugas setelah berkerja berat selama 11 bulan. Sesungguhnya lebih jauh dari itu, berpuasa mempunyai hikmah istimewa yang dapat menggarap kecerdasan intelektual, kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual secara serentak. Walaupun demikian, perlu diingat latihan berpuasa hendaklah berdasarkan kemampuan anak-anak mengikut peringkat usianya. Anak-anak perlu diberi galakan dan bukannya paksaan dalam menjalani ibadah puasa.

Marilah sama-sama kita mengunakan peluang Ramadhan yang bakal menjelma bagi mengasuh kecerdasan emosi anak, simpati dan empati sesama insan di samping mempertingkatkan ketaatan kepada Allah swt.

Share/Save/Bookmark