RSS
 

PEMILIHAN SEKOLAH ANAK

28 Nov

Keputusan UPSR dah keluar…… Ada yang gembira, ada yang sedih. Walau apa pun keputusan yang diperolehi anak-anak kita, perlu diterima dengan positif. Bagi yang cemerlang, bintang mereka semakin nampak cerahnya. Manakala yang kurang cemerlang pula jangan berputus asa, masih berpeluang menebusnya pada peperiksaan PMR nanti (2013 masih lagi ada PMR :) ).

Kemungkinan ketika ini para ibu bapa sedang sibuk memilih sekolah yang sesuai berdasarkan keputusan peperiksaan anak mereka yang baru lalu. Pemilihan sekolah anak-anak amat penting bagi memastikan sistem dan persekitaran di sekolah yang dipilih mampu menjana perkembangan fizikal dan mental anak dengan berkesan. Bagi ibu bapa yang berpengalaman, sudah pasti begitu faham tentang betapa pengaruh persekitaran terhadap anak-anak mereka.

Kebiasaannya, anak-anak tidak mampu mempengaruhi dan mengubah suasana persekitaran sekolah sebaliknya persekitaran (termasuk sahsiah para pelajar) akan mempengaruhi dan mewarnai kehidupan mereka khususnya sepanjang tempoh persekolahan. Apa yang diterap ketika ini akan memberi kesan walaupun selepas bangku sekolah.

Justeru, persekitaran mempengaruhi kepintaran dan sahsiah anak-anak. Oleh itu, pemilihan sekolah yang tepat dapat membantu perkembangan pendidikan anak-anak ke arah yang seimbang dan sempurna. Pemilihan sekolah perlu dibuat sewaktu prasekolah lagi, diikuti sewaktu sekolah rendah dan seterusnya apabila peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Peringkat sekolah menengah adalah peringkat anak-anak mulai menempuh alam remaja yang mempunyai banyak cabaran yang perlu ditempuh di samping memburu cita-cita.

Jangan hanya melihat pencapaian akademik sekolah semata-mata. Setiap sekolah ditadbir oleh individu yang berbeza walaupun berasaskan kepada dasar pendidikan yang sama. Justeru itu aplikasi dasar pendidikan juga dipengaruhi oleh kecenderungan dan kefahaman pihak pentadbir sekolah yang berbeza-beza. Ditambah pula misi dan visi sekolah yang berbeza walaupun matlamatnya hampir sama, yang mana berada di dalam bidang kuasa pentadbir sekolah. Setiap sekolah pula mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang tersendiri bagi mencapai misi dan visi masing-masing.

Oleh itu, perlulah selidiki latar belakang sekolah dahulu sebaik mungkin untuk memastikan sekolah berkenaan akan dapat menyumbang ke arah pembangunan IQ, EQ dan SQ anak-anak selaras dengan falsafah pendidikan negara bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.

Kesimpulannya, pemilihan sekolah yang baik perlu mengambil kira persekitaran sekolah, para personel yang mentadbir, dasar yang diamalkan oleh sekolah tersebut di samping kewibawaan kakitangan akademik. Hakikatnya, pencapaian akademik yang cemerlang pada peringkat awal seperti UPSR, SRU dan PMR memberi peluang yang lebih luas kepada ibu bapa dan anak-anak untuk memilih sekolah yang baik bagi meneruskan persekolahan demi mengejar cita-cita.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

” Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. “

Share/Save/Bookmark

 
 

Anak Tak Nak Ke Sekolah?

20 Nov


Ada kanak-kanak yang memang suka pergi sekolah tapi ada juga segelintir yang tak suka pergi sekolah. Yang pasti, mesti ada sesuatu sebab kenapa mereka tidak mahu pergi sekolah.

Masalah ini biasanya berlaku bagi anak berumur 4-7 tahun yang baru hendak mula bersekolah. Walaupun demikian ada juga kes anak yang tidak suka ke sekolah yang berlarutan sehingga sekolah rendah.

Mungkin juga ini adalah antara penyebabnya…..

1. Tak mahu berpisah dengan ibu dan adik-adik di rumah
2. Dibuli oleh kawan-kawan di sekolah
3. Guru yang tidak disukainya; mungkin gurunya selalu menegur dan marah secara yang tidak disukainya.
4. Tidak suka berkawan, nak dok sorang-sorang disebabkan tidak dibiasakan sebelumnya
5. Tidak selesa, takut, tak pernah berenggang dengan ibu bapa dan tidak rasa selamat
6. Perasaan takut dan tidak selesa berdepan dengan guru dan kawan-kawan
7. Tidak suka bangun awal pagi
8. Tidak suka dengan persekitaran sekolah

Cadangan Penyelesaian

Selidiki punca masalah; apakah sebab anak tak mahu pergi sekolah.

Pujuk dan tanya kenapa dia tak nak pergi sekolah; adakah sebab kena buli, takut kawan atau guru atau sebagainya. Berdasarkan punca masalah tersebut , cuba cari jalan penyelesaian yang sesuai seperti;

1. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah, seperti “ada ramai kawan”, “guru yang baik”, “boleh main dengan kawan” dan sebagainya..

2. Beri ganjaran (umpan) kepada anak yang tak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah tetapi janji tersebut mestilah jangan keterlaluan dan di dalam kemampuan ibu bapa.

3. Latih anak bangun awal, sebaik-baiknya dapat solah subuh bersama-sama. Sediakan mereka dengan pakaian yang kemas.

4. Mungkin juga ibu atau bapa perlu temankan dia di sekolah untuk berapa tempoh.. sehingga dia rasa selamat dan yakin

5. Buat kerja rumah dan ulangkaji bersama-sama. Cerita, Tanya hal-hal aktiviti, siapa kawan dia di sekolah dan sebagainya, menunjukkan minat dan sokongan kita terhadap persekolahannya.

6. Berbincang dengan guru sekiranya anak kita dibuli atau takut kepada kawan. Biasanya guru juga dapat mengesan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

7. Bantu anak dapatkan kawan seramai yang mungkin dan secepat mungkin. Ada juga kanak-kanak yang lambat mendapat kawan dan ada yang cepat (bergantung kepada sifat genetik, persekitaran dan asuhan).

8. Tukar sekolah. Ini adalah pilihan terakhir sekiranya masalah persekitaran, guru dan rakan sukar diatasi. Kemungkinan juga anak tidak minat dengan silibus di sekolah berkenaan. Ada kes seorang anak minta dipindahkan dari tadika ‘cina’ ke tadika ‘Islam’ (anak kami la tu.. :) , kononnya nak jadikan da’i atau pendakwah yang menguasai banyak bahasa tetapi bertentangan dengan persekitaran di rumah)

9. Berdoa semoga diberikan minat dan keinginan yang tinggi bagi anak-anak menuntut ilmu yang bermanfaat..

Share/Save/Bookmark

 
 

RAHSIA DI SEBALIK TANGISAN BAYI

14 Nov

 

Apabila bayi menangis, pasti ada yang tak kena..

Bila bayi menangis, biarpun ditengah malam, si ibu dan mungkin juga bapa akan terus bertindak bagi memastikan bayi mereka tersebut berhenti menangis..

Namun, kadang-kadang, macam-macam dah dibuat, tapi bayi tetap tak berhenti menangis.

Baru je menyusu.. Lampin pun masih ok.. Ruam pun takde.. Dah puas dodoi, tak juga berhenti merengek.

Mana tau kot-kot ada ‘benda-benda’ halus mengacau. Teringat pulak ustaz kata ada sejenis jin yang suka mengganggu kanak-kanak, namanya Ummu Sibyan. So, baca ayat kursi dan tiup-tiup kat telinga baby, tak jadi jugak.

Orang tua-tua kata, biarlah budak tu menangis, nanti dah puas, pandai jugak dia berhenti sendiri tu. Betul ke tu?

Yang pasti si ibu atau bapa akan terus berusaha untuk mengetahui apakah punca tangisan bayi dan cuba memenuhi keperluannya..

Biasanya, setiap kali bila bayi menangis, ibunya akan terus menyusukannya. Sebenarnya, lapar bukanlah satu-satunya sebab bayi menangis. Selain dari lapar, bayi akan menangis bila menghadapi keadaan-keadaan seperti penat, kembung perut, tidak selesa, perlu sendawa dan beberapa sebab lagi.

Seorang ibu mendakwa bahawa beliau boleh berkomunikasi dengan bayinya dan faham apa kehendak-kehendak si comel bila mereka menangis. Pendek kata, beliau boleh faham ‘bahasa bayi’.

Dengan meneliti bunyi tangisan bayi, beliau boleh bezakan sama ada bayi tersebut, penat, letih, tidak selesa, perlu sendawa atau sebab-sebab lain.

Kalaulah seseorang ibu itu faham sebab-sebab bayi menangis, tidak akan timbul masalah bayi tersebut menangis berpanjangan kerana apabila kehendak bayi itu dipenuhi, sudah pasti dia akan berhenti menangis.

Menurut ibu tersebut, tangisan bayi bukanlah satu bunyi yang dihasilkan secara rawak, tetapi ia adalah satu bentuk komunikasi oleh bayi bagi menyampaikan keinginan mereka.

Tangisan adalah merupakan ‘bahasa universal’ bagi bayi. Buktinya, teknik ini telah diaplikasikan oleh lebih 1000 bayi dari lebih 30 bangsa di seluruh dunia.

9 daripada 10 ibu-ibu memberikan respons yang positif terhadap teknik ini.

70% ibu-ibu melaporkan bahawa mereka lebih yakin dan selesa setelah berjaya mengenalpasti teknik ini.

2 daripada 3 bapa melaporkan bahawa tekanan emosi yang mereka hadapi berkurangan dan hubungan rumahtangga yang lebih harmoni.

Bagi menyokong pendapat ini, salah seorang dari ibu tersebut telah membuktikan fakta ini dengan menggunakan rakaman video anaknya sendiri.

Nak tengok? KLIK SINI

Bagi bayi tersebut pula, tangisan yang berterusan ini akan bakal meninggalkan kesan negatif kepadanya dari segi perkembangan emosi dan mental. Ini dibuktikan oleh kajian pakar-pakar dari seluruh dunia.

Alangkah baiknya jika anda sebagai ibu bapa dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh si comel. Sudah tentu si comel itu akan ceria selalu.

Sebenarnya dengan meneliti bunyi tangisan bayi, kita boleh bezakan sama ada bayi tersebut, penat, letih, tidak selesa, perlu sendawa atau sebab-sebab lain.

Share/Save/Bookmark

 
 

Latih Anak Sulung Sebagai Pemimpin

23 Oct

Tatkala ibu mengandungkan anak kedua, si ibu mula terhidu perubahan sifat anak pertama. Kebiasaannya sifat anak pertama tersebut akan berubah menjadi lebih agresif sedikit daripada biasa, lebih sensitif dan mudah merajuk. Sikit-sikit nak menangis, sikit-sikit merajuk, sesetengah orang memberi istilah sebagai ‘chengeng’, ‘ciwek’ dan sewaktu dengannya. Sifat-sifat tersebut boleh berlarutan sehinggalah kelahiran adiknya kelak.

1. Selepas Kelahiran Anak Kedua,

Perasaan cemburu si abang terhadap si adik kecil semakin ketara. Si abang seolah-oleh bimbang akan kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa terutama ibunya. Tambahan pula apabila melihat ibunya memangku adiknya ketika menyusu, malah menukarkan lampin adik pun dia cemburu… Ia bayangkan seolah-olah dirinya sudah tidak disayangi lagi oleh ibunya lagi. Itulah sebabnya sesetengah anak yang dah boleh bercakap, apabila ditanya ‘nak adik?’, dengan spontan dijawabnya ‘tak nak’ (macam rokok pulak.. :) ).

2. Tukar Sifat Cemburu Kepada Kasih Sayang!!

Biasanya anak tua kita itu akan menunjukkan rasa cemburu dengan keadaan emosi yang kurang stabil, memukul adik tanpa sebab, cubit dan sebagainya apabila ‘lepa’ daripada pandangan ibu atau bapa.. Anda boleh cuba kaedah kami ini iaitu: ..Ibu memegang tangan si anak sulung, kemudian sama-sama menyentuh dengan sentuhan lembut bahagian badan si adik kecil (pipi, lengan, kaki dan sebagainya). Lakukan perbuatan tersebut sekerap mungkin. Cerita pada si abang bagaimana pada ketika dulunya si abang pun diperlakukan perbuatan yang sama. Sambil menyusukan si kecil ibu juga perlu memperbanyakkan mengusap kepala dan menyentuh sekerap yang boleh tubuh si abang supaya ia merasakan dirinya masih disayangi.

3. Panggilan Membentuk Sifat

Ajar si abang supaya memanggil adiknya dengan panggilan ‘adik’ atau seumpamanya dan bukan dengan panggilan nama sahaja. Perkataan ini mampu membina sifat tanggungjawab si abang terhadap adiknya.

4. Pimpin Tangan Adik

Ketika sudah besar sedikit, iaitu adik dan abang sudah boleh berjalan sendiri, latih si abang untuk memimpin tangan adiknya. Pegang tangan abang dan lekapkan kepada tangan adik ketika berjalan. Kaedah ini dapat menimbulkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang abang terhadap adiknya. Sifat sebagai pembela, mempunyai peranan dan rasa tanggungjawab mula terbentuk, iaitu lebih awal daripada kebiasaan. Keadaan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan ibu bapa mengendalikan ragam anak-anak.

5. Perkongsian

Kebiasaannya ibu bapa membeli sesuatu khusus untuk seorang anak. Contohnya jika beli kereta mainan untuk dua orang anak, dibelikan dua buah iaitu seorang satu buah. Jika beli air kotak, juga dibelikan 2 kotak. Cuba tukar kaedah biasa ini kepada bentuk perkongsian. Ajar mereka berkongsi. Jika beli kereta mainan, pastikan berlainan supaya dapat berkongsi. Begitu juga minuman, beli satu kemudian berkongsi, kalau boleh bukan setakat kongsi tetapi abang yang suapkan kepada adik.

6. Bersikap Adil

Jangan pukul abang jika dia berkasar dengan adiknya. Dia akan menyimpan sifat dendam sekiranya kita memarahi atau memukul sebaliknya latih, pujuk dan didik. Peluklah sambil memberi nasihat kepadanya sebagai suatu kaedah mendidik. Ramai ibu bapa berpendapat bahawa anak sulung perlu mengalah. Perlu memahami masalah dan memahami keperluan si adik, malah ada kalanya perlu memikul kesilapan si adik. Adakah ini wajar? Keadaan begini tidak adil kepada anak sulung, malah menyebabkan jiwanya memberontak dan tertekan. Seterusnya akan menjejaskan misi kita menjadikan anak sulung sebagai pembela yang bertanggungjawab dengan ikhlas.

Hasil daripada penggunaan kaedah-kaedah yang dicadangkan memerlukan masa yang lama. Ibu bapa perlulah mempraktikkan secara berterusan dengan sabar… Insya Allah, Dengan izin Allah akan berhasil.

Share/Save/Bookmark

 
 

PERSIAPAN AKHIR MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR..

02 Oct

Peperiksaan merupakan perkataan yang amat sinonim dengan pelajar. Meskipun terdapat cadangan untuk mengubahsuai kaedah penilaian pelajar sekolah rendah dan menengah, namun peperiksaan UPSR dan PMR masih dilaksanakan seperti biasa pada tahun ini. Peperiksaan masih lagi menjadi pengukur utama kecemerlangan pelajar di peringkat PMR. Biarpun bijak seseorang pelajar tersebut, pasti sukar diiktiraf sekiranya tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang di dalam peperiksaan yang didudukinya. Oleh itu peperiksaan PMR yang bakal dihadapi beberapa hari lagi masih perlu diberi perhatian serius sebagai pengukur kecemerlangan pelajar yang penting untuk kesinambungan proses pembelajaran formal.

Sesetengah ibu bapa prihatin sanggup mengambil cuti khusus untuk membantu anak belajar atau setidak-tidaknya dapat memberi sokongan moral sepanjang musim peperiksaan berlangsung. Apatah lagi bagi anak-anak yang tidak mempunyai teknik belajar yang berkesan dan tiada matlamat belajar yang jelas.

Sokongan Ibu Bapa

1. Beri kerjasama kepada anak anda (calon peperiksaan) dengan mengelakkan mereka daripada menerima sebarang tekanan. Segera membantu mereka mengawal tekanan jika ada, sehingga tamat peperiksaan.
2. Jangan jemu memberi dorongan dan keyakinan diri menghadapi peperiksaan sehingga hari terakhir peperiksaan yang diduduki
3.Temani mereka mengulangkaji dan membuat latihan di saat akhir sekiranya perlu. Sesetengah pelajar lebih suka mengulangkaji secara bersendirian.
4. Sediakan keperluan peperiksaan secukupnya seperti pen, pensil, pemadam dan sebagainya.
5. Iringi peperiksaan anak anda dengan doa yang ikhlas

Persediaan Fizikal

1. Tidur yang cukup (sekitar 6-7 jam sehari), tidur berlebihan juga tidak baik. Elakkan tidur antara asar dan maghrib, yang mana boleh menjejaskan kesihatan mental.
2. Makan makanan berkhasiat. Pemakanan tambahan untuk minda juga amat baik seperti kismis, kurma, termasuk air bersih/mineral secukupnya (6-8 gelas sehari)
3. Elakkan kegiatan lasak dan merbahaya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan keletihan termasuk sukan lasak.
4. Beriadah, sekadar mengeluarkan peluh, cukup dengan 2-3 kali seminggu. Kurangkan masa bersukan ke tahap yang paling minimum sehingga selesai peperiksaan.
5. Ulangkaji semua topik berkaitan dengan terancang. Bahagikan masa secukupnya untuk setiap mata pelajaran sehingga hari peperiksaan. Rujuk jadual peperiksaan bagi membantu keberkesanan perancangan.
6. Jangan bergantung kepada soalan ramalan. Sebaliknya perlu melakukan latih tubi menggunakan soalan ramalan dan soalan tahun-tahun lepas bagi membiasakan dengan bentuk soalan dan anggaran masa menjawab soalan.

Persediaan Mental

1. Yakin dan gembira untuk menghadapi peperiksaan (semestinya telah melakukan persediaan awal, kalau tidak agak sukar untuk mendapat keyakinan..)
2. Jauhi fikiran negatif tentang peperiksaan yang akan diduduki; contohnya mengelakkan jangkaan dan bayangan bahawa soalan peperiksaan yang bakal dihadapi susah, berfikiran bahawa sijil PMR tidak penting atau seumpamanya.

Persediaan Emosi

1. Elakkan berlakunya konflik samada dengan rakan atau sesiapa sahaja. Jangan terlalu melayan perasaan yang negatif dan jangan mudah ambil hati atau kecewa.
2. Kurangkan komunikasi dan aktiviti sosial (apatah lagi ‘bercewek..’, penggunaan sms dan facebook yang keterlaluan); Penting bagi meningkatkan tumpuan kepada persediaan peperiksaan yang berkesan

Persediaan Rohani

1. Solat hajat, sentiasa mendahuluinya dengan solat taubat. Dilakukan oleh pelajar sendiri, dengan ini mereka lebih berusaha dengan pengharapan yang lebih kepada Allah s.w.t.
2. Mendekatkan diri kepada Allah, menjauhi maksiat dan berdoa kepada Allah s.w.t
3. Mentaati dan menghormati ibu bapa
4. Bertawakkal kepada Allah s.w.t

Tips Di Dewan Peperiksaan.

1. Datang awal ke dewan peperiksaan (pastikan jadual disemak terlebih dahulu)
2. Memasuki dewan peperiksaan dengan penuh yakin
3. Baca soalan yang dikemukakan dengan teliti (faham betul-betul…)
4. Menjawab semua soalan yang terdapat pada kertas soalan (berdasarkan arahan). Jangan biarkan ada soalan yang tidak dijawab.
5. Tinggalkan sementara soalan yang susah dengan menanda soalan tersebut dan kembali menjawab selepas menjawab soalan-soalan yang mudah
6. Semak jawapan sehingga pasti yakin atau sehingga habis masa yang diperuntukkan
7. Jangan keluar awal dari dewan peperiksaan, gunakan masa yang ada untuk semakan. (Masa ini merupakan masa yang paling penting sepanjang 3 tahun persediaan (PMR))

Langkah yang seribu bermula dengan langkah pertama. Walaupun PMR tidak sepenting SPM, sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan PMR dapat membuka peluang yang lebih luas untuk pemilihan bidang dengan lebih tepat berdasarkan potensi dan minat pelajar demi kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.

TARIKH PEPERIKSAAN PMR : 5 – 12 OKTOBER2010

P/S: Perubahan tarikh peperiksaan SPM >> Bermula pada 23 November 2010

Share/Save/Bookmark

 
1 Comment

Posted in Pendidikan

 

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1431H..

08 Sep

Salam Aidilfitri 1431H/2010..

Sempena kedatangan 1 Syawal tahun ini, kami menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan samada sepanjang menulis di blog atau di mana sahaja kesilapan dan kelemahan tang berlaku. Semoga hari raya tahun ini disambut dengan lebih bermakna, gembira dan ceria..

“Satu Syawal menjelang tiba,
Takbir bergema menggegar jiwa,
Sekiranya ada salah dan dosa,
Ampun dipinta dihari mulia.”

>> SELAMAT HARI RAYA – MAAF ZAHIR & BATIN <<

Share/Save/Bookmark

 
No Comments

Posted in Semasa

 

PUASA, AL-QURAN DAN BERSUGI KUATKAN INGATAN

27 Aug

Bagi ummat Islam, telah berlalu separuh masa pertama ibadah puasa.. Kalau tarawih di masjid-masjid tu… dah mulai berkurangan jumlah makmumnya.. mungkin juga mereka sibuk melaksanakan ibadah di rumah-rumah sendiri (sangka baik..)..

Kini kita sedang menempuh fasa kedua iaitu 10 hari kedua bulan Ramadhan. Hati-hati… walaupun syaitan-syaitan yang jahat dirantai, tetapi kesan daripada godaan mereka selama sebelas bulan yang lalu menyebabkan manusia terbiasa dengan kemungkaran dan dosa sehingga menyebabkan mereka sukar membezakan pahala dan dosa..

Walaupun demikian, masih ada peluang bagi kita merebut seberapa banyak ganjaran yang disediakan bagi amalan di bulan Ramadhan. Setiap amalan fardhu akan diganjari 70 kali ganda. Manakala amalan sunat pula akan diganjari seperti amalan fardhu pada bulan-bulan lain. Khususnya..Lailatul Qadar yang mana lebih baik daripada 1000 bulan. Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Hari ini pula merupakan hari ke 17 Ramadhan, di mana tarikh Al-Quran diturunkan kepada manusia (Nuzul Qur’an – Hari Jumaat pula tu, jarang-jarang berlaku..) Panduan ummat sejagat. Para pengkaji Barat juga menjadikan Al-Quran sebagai rujukan untuk menggali ilmu sains dan teknologi. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan yang lengkap untuk menyempurnakan kehidupan insan di dunia dan akhirat..

Al-Quran merupakan mukjizat yang sangat istimewa dan mempunyai fadzilat yang sangat banyak. Melalui pembacaan Al-Quran juga, dapat menguatkan ingatan pembacanya. Jarang kita lihat orang yang sering membaca Al-Quran mengalami penyakit nyanyok.

Sebagaimana diberitakan bahawa:

“ Saidina Ali Bin Abu Talib r.a. berkata, “Terdapat tiga perkara yang menguatkan ingatan dan menghilangkan balgham iaitu bersugi gigi, berpuasa dan membaca al-Quran.”

Sangat elok ketiga-tiga amalan tersebut dilaksanakan bersungguh-sungguh di dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini sebagai latihan. Khususnya buat anak-anak kita bagi memperolehi manfaat terhadap peningkatan kepintaran mereka di samping ganjaran pahala yang disediakan khas buat ibu bapa.

Mudah-mudahan amalan tersebut dapat diteruskan dengan tekun juga walaupun selepas Ramadhan.. Berpuasa sunat Isnin dan Khamis, membaca Al-Quran dan bersugi..

Tiga perkara tersebut juga kami jelaskan lebih lanjut di dalam ebook Rahsia Anak Pintar yang boleh diperolehi melalui laman www.rahsiaanakpintar.com

Hanya tinggal 13 hari sahaja lagi Ramadhan tahun ini akan meninggalkan kita, lepas tu… 11 bulan lagi lah baru akan muncul semula… Mudah-mudahan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki kita untuk menemui Ramadhan Al-Mubarak pada tahun akan datang…

Selamat Berpuasa….

Share/Save/Bookmark

 
1 Comment

Posted in Pendidikan

 

Asuh Emosi Anak Melalui Puasa

08 Aug

Puasa
Muqaddimah

Bulan Ramadhan, bulan mulia dan penuh keberkatan yang ditunggu-tunggu oleh ummat Islam bakal menjelma tidak lama lagi. Ramadhan merupakan bulan tarbiyah ke arah insan bertaqwa. Masjid dan surau akan dibanjiri dengan umat Islam khususnya untuk solat Tarawih. Kedatangan bulan mulia ini merupakan seribu rahmat buat umat Islam.

Salman radiallahu’anhu meriwayatkan:

Pada hari terakhir Sya’ban, Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kami: “Wahai manusia, kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat, terkandung di dalamnya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan. Inilah bulannya Allah memfardhukan puasa pada siang hari dan menjadikan SOLAT TARAWIH sebagai sunnah pada malam hari. Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah melalui amalan baik pada bulan ini, maka akan dibalasi kepadanya dengan ganjaran seolah-oleh dia melakukan amalan fardhu di bulan lain pada tahun itu. Dan barang siapa melakukan amalan fardhu akan dibalasi kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. Inilah sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran sejati adalah Jannah”.

“Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, di bulan inilah rezeki orang-orang beriman ditambah. Barang siapa memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang yang berpuasa maka kepadanya akan dibalasi dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan dibebas daripada api neraka Jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu”. Maka kami pun berkata: “Ya Rasulullah, tidak semua kami mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka”. Baginda menjawab: “Allah akan mengurniakan balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa”.

Puasa membentuk kecerdasan

Amalan berpuasa dapat melatih seseorang menjadi insan yang berdisiplin, sabar dan berfikiran lebih matang. Melatih anak berpuasa sejak kecil akan meningkatkan kemampuan mereka bersabar, menahan diri dari melanggar perkara-perkara yang membatalkan puasa dan berfikir dengan tenang. Oleh itu, amalan berpuasa dapat mengasuh emosi anak ke arah yang lebih stabil. Lantaran, kebiasaan berpuasa dapat meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan meningkatkan kemampuan kanak-kanak berinteraksi dengan baik.

Seringkali kita mendengar bahawa berpuasa sangat baik untuk kesihatan fizikal manusia, dapat mencegah daripada berbagai penyakit. Organ-organ yang berkaitan dengan pencernaan diringankan tugas setelah berkerja berat selama 11 bulan. Sesungguhnya lebih jauh dari itu, berpuasa mempunyai hikmah istimewa yang dapat menggarap kecerdasan intelektual, kecerdasan emosi dan kecerdasan spiritual secara serentak. Walaupun demikian, perlu diingat latihan berpuasa hendaklah berdasarkan kemampuan anak-anak mengikut peringkat usianya. Anak-anak perlu diberi galakan dan bukannya paksaan dalam menjalani ibadah puasa.

Marilah sama-sama kita mengunakan peluang Ramadhan yang bakal menjelma bagi mengasuh kecerdasan emosi anak, simpati dan empati sesama insan di samping mempertingkatkan ketaatan kepada Allah swt.

Share/Save/Bookmark

 
 

Jadilah Insan Prihatin

29 Jul

Aktiviti Sajak Farid di Youtube….
Rakaman pada 28.07.2010 setelah usia mencecah 6 tahun..

Saja..je, nak cuba terap sifat simpati sesama insan sambil-sambil mengasah bakat.. Selalu juga kami beri Farid sedikit wang untuk diberi kepada peminta-peminta sedekah di bandar, sambil-sambil ajak dia bersyukur harap-harap jadi anak soleh..insyaallah. Doakan Kami..

Share/Save/Bookmark

 
 

DOA SEORANG IBU

26 Jul

Ini adalah sedutan dari ceramah oleh Al Ustaz Abdullah Mahmud dari unit KAGAT ATM yg bertajuk “Dahsyatnya doa Seorang Ibu”.

Ibu Kita dan Kita Sebagai Ibu…..

Lapangnya masa kita ada kaitan dgn keberkatan hidup kita. Kita adalah di bawah siksa Allah bila masa ada masa utk buat benda tak baik tapi takdak masa nak buat yg baik.

Jika kita tak pernah kecukupan duit maksudnya kita disiksa Allah.

Setitik air mata ibu jatuh, 10 kebajikan anak hilang. So, ibu² jgn jatuh air mata ye dan anak jgn bagi ibu jatuh air mata. Menangis kerana anak berjaya dan bukan sedih kerana angkara anak.

Kalau balik tengah malam, buka lampu tengok dan tatap muka ibu, sebab wajah orang tidur akan menampakkan segalanya.

Ada 3 mata yg tak dijilat api neraka :-
– Melihat Kaabah sehingga menitis air mata
– Membaca Quran sehingga menitis air mata
– Memandang wajah ibu yg sedang tidur / sedar hingga berlinang air mata

3 orang yg kita kena tengok dan selalu pandang dalam hidup, tengok masa tidur :-
– Anak
– Ibu
– Suami
Selingan : kata ustaz kalau kita ada perselisihan faham dgn suami sampai nak bercerai, tengok la muka dia bila dia tidur. Kalau masih terbit perasaan kasih, sayang, cinta, rindu atau simpati, janganlah bercerai. Tapi jika tiada rasa tu semua maksudnya jodoh dah memang takde, boleh proceed pi mahkamah.

Orang yg selalu menatap dan memandang ibunya takkan menangis di hari kematian ibunya… Kira tak menangis teruk laa… Bagi siapa yg masih ada ibu, pandang laa selalu…

Adalah menjadi satu dosa jika kita mengguna jari telunjuk untuk menunjukkan sesuatu pada ibu.

Kalau ada niat yg baik teruskan laa… Allah akan bersama, jangan takut.

Kalau tak mampu lakukan sesuatu, pasang niat pun mencukupi.
e.g. tak mampu tolong orang, niat nak tolong pun dah memadai.

Kalau kita tak mampu letakkan diri kita di tempat yg terbaik, Allah akan letakkan kita di tempat terbaik dengan syarat letakkan ibu kita di tempat yg terbaik.

Ada kaedah yg mana kita boleh minta pada Allah, “ungkit” kebaikan yg menimpa dengan tujuan untuk makbulkan doa kita. Kaedah itu dipanggil “wasilah amal”.
– “Ya Allah semalam aku sudah bersedekah sebanyak RM1, kalau itu satu kebaikan jadikanlah ia penyebab makbulnya doaku ini”.
– Paling banyak buat baik dgn ibu kita, lagi mustajab. Makna dia wasilah amal ini sangat berkesan kalau yg dituntut tadi adalah hal² yg berkaitan kebaikan yg dibuat kepada ibu kita.
– Tapi geng kalau sedekah RM1 takkan nak tuntutkan…

Antara lain yg boleh dituntut adalah apabila kita ditimpa sakit / musibah.

Kalau ditimpa sakit, bacalah “Innalillahiwainnaillaihirojjiun…” then cakap dengan Allah…
– “Ya Allah, berilah pahala besar untuk sakit yg aku tanggung ini”.
– “Ya Allah, bagilah aku keampunan dosa atas sakit ku ini”.

Even suapkan anak pun kita boleh tuntut, apatah lagi sedekah kepada ibu dan orang yg memerlukan.

*** Barang siapa yg tidak mendoakan ibu selepas sembahyang buat ibu yang sudah meninggal maka dikira dia anak derhaka walaupun pada waktu ibunya hidup dia tak pernah menderhaka. Maksudnya jika ibu masih hidup atau telah tiada, selepas setiap solat kita mesti doakannya!

Doa orang yg masih hidup makbul untuk orang yg hidup dan mati. Jadi doakan ibu kita yg telah tiada.

*** Doa orang yang mati makbul untuk orang yang masih hidup.

Masa ni ustaz tu bagi contoh sadis sikit…sedih gak laa..
Pi ke pusara mak kita then cakap…”Mak, esok anak saya nak kawin, kalau mak ada tentu mak bahagia tengok cucu mak kawinkan” atau “Ayah, saya nak kawin esok, kalau ayah ada pasti ayah akan gembira tengok sayakan…”.

Ustaz kata luahkan kepada ibu / bapa yang telah tiada kerana mereka mendengar dan mereka boleh mendoakan kita dari sana.

Bila lalu kubur, perlahankan dan beri salam! Mereka akan doakan kita “berkatilah si A ini” dan jika tak bagi salam, mereka akan kata ”celakalah orang ini”. Jadi, jangan lupa bagi salam next time.

Tanda² siksa Allah atas muka bumi ni antara lain simpan harta sampai mati tak pernah keluarkan.

Sesiapa yg bersedekah selalu, takkan miskin orang itu selamanya…

Bila nak berbelanja @ shopping always spare duit untuk sedekah kerana dalam duit kita tu ada hak orang susah. Jadi, bila orang buta datang masa makan bagi laa duit sebab kita nak cari orang susah untuk sedekah dah amat susah masa skrg and takde masa jadi Allah hantarkan orang² susah ini untuk kita dapatkan pahala!

*** Jika mak kita sudah meninggal dan semasa hayatnya kita ada peruntukkan wang untuk dia, bila mak kita dah takde teruskan memberi peruntukkan tu sebagai sedekah. Jangan kurangkan peruntukkan!! “Ya Allah, aku sedekahkan bagi pihak ibuku, semoga pahala sedekah ni sampai kepada ibuku”. Itu yg buat ibu kita bahagia di sana.

Kalau kita susah nak bersedekah, bayangkan wajah ibu kita, baru kita ringan tangan nak bersedekah.

*** Allah panjangkan usia ibu dan bapa supaya dia sakit dan nyanyuk untuk beri syurga pada anak²nya. Jagalah mereka dengan baik InsyaAllah, syurga balasannya. Jadi kalau tahu ibu / bapa sakit, berebutlah menjaga ibu / bapa kita. Besar sangat pahalanya.

Allah kalau boleh tak nak kita masuk neraka, jadi Allah takkan matikan seseorang dalam keadaan kotor dan berdosa jadi dia bagi kita sakit / malu / miskin untuk membersihkan kita sebelum dia mengambil kita.

Selalu Bergaduh Dengan Ibu
Jika ada antara kita yg selalu bergaduh dengan ibu, ada kemungkinan kita diganggu saka.
– Antara gangguan saka, selalu mimpi bayi / budak. Dukung bayi, susu bayi or selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi / selalu sakit tulang belakang / tulang belakang bengkok / rasa mengantuk selepas asar.
– Saka dipindahkan melalui kasih sayang / harta pusaka, walaupun sebiji pinggan / amalan / sentuhan
– Symptom dah terkena saka :-
# tak boleh tidur lena, tapi bila dekat azan subuh, senang lena.
# bila dah peringkat teruk, di usia tua kita, tengah malam selalu lapar.
# susah nak dapat anak, senang gugur.
# ada rasa kelibat orang lalu.
# yg lagi parah, saka bersetubuh dengan kita, mengandung tapi anak hilang dalam kandungan jadi bila nak berintim, bercakap laa sedikit kerana saka menyerupai suami kita dan dia datang dalam keadaan diam.
– Cara hilangkan saka, Zikir “Laillahaillalah” 700,000 sampai habis, InsyaAllah saka akan cair dan keluar dari badan.

Antara penyakit saka adalah breast cancer, cancer rahim and cancer tulang.

3 penyakit yg tiada ubat yg penyakitnya adalah datang dari syaitan adalah cancer, aids dan leukemia. Kalau dapat ni pi laa perawatan cara Islam jugak.

Kalau ibu kita sakit cancer dan dia tak mampu berzikir, kita tolong zikirkan.

Kalau ada penyakit was², bacalah Surah Al-Ikhlas…”Qulhuwallahuahad…” 1000x sehari.

Anak Lari Dari Rumah
Kalau anak lari dari rumah, gantungkan bajunya dihanger dan anginkan dan hadiahkan Surah Al-Ikhlas setiap hari.

Masa laungan azan yg pertama, panggillah nama anak kita, InsyaAllah akan sampai panggilan kita kepadanya.

Anak Degil
*** Bila anak nak tidur, duduklah di hujung kepalanya dan panggil ROH ANAK.

Ni seram sikit masa nk buat. Heheheee… Mula² je, lepas tu ok.
e.g. Wahai roh anakku “nama anak”, jadilah kamu roh yg baik , roh yg bertimbang rasa pada ibu dan bapa, roh yg taat pada Allah, roh yg sayang sesama manusia.

You can ask anything! Nak anak senang bangun ke sekolah…just try and see!

So, info dah disampaikan, marilah kita sama² praktikkan mana yg bolehkan…

INSYA-ALLAH..

Sumber: e-mail

Share/Save/Bookmark

 
1 Comment

Posted in Pendidikan