RSS
 

PEMILIHAN SEKOLAH ANAK

28 Nov

Keputusan UPSR dah keluar…… Ada yang gembira, ada yang sedih. Walau apa pun keputusan yang diperolehi anak-anak kita, perlu diterima dengan positif. Bagi yang cemerlang, bintang mereka semakin nampak cerahnya. Manakala yang kurang cemerlang pula jangan berputus asa, masih berpeluang menebusnya pada peperiksaan PMR nanti (2013 masih lagi ada PMR :) ).

Kemungkinan ketika ini para ibu bapa sedang sibuk memilih sekolah yang sesuai berdasarkan keputusan peperiksaan anak mereka yang baru lalu. Pemilihan sekolah anak-anak amat penting bagi memastikan sistem dan persekitaran di sekolah yang dipilih mampu menjana perkembangan fizikal dan mental anak dengan berkesan. Bagi ibu bapa yang berpengalaman, sudah pasti begitu faham tentang betapa pengaruh persekitaran terhadap anak-anak mereka.

Kebiasaannya, anak-anak tidak mampu mempengaruhi dan mengubah suasana persekitaran sekolah sebaliknya persekitaran (termasuk sahsiah para pelajar) akan mempengaruhi dan mewarnai kehidupan mereka khususnya sepanjang tempoh persekolahan. Apa yang diterap ketika ini akan memberi kesan walaupun selepas bangku sekolah.

Justeru, persekitaran mempengaruhi kepintaran dan sahsiah anak-anak. Oleh itu, pemilihan sekolah yang tepat dapat membantu perkembangan pendidikan anak-anak ke arah yang seimbang dan sempurna. Pemilihan sekolah perlu dibuat sewaktu prasekolah lagi, diikuti sewaktu sekolah rendah dan seterusnya apabila peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Peringkat sekolah menengah adalah peringkat anak-anak mulai menempuh alam remaja yang mempunyai banyak cabaran yang perlu ditempuh di samping memburu cita-cita.

Jangan hanya melihat pencapaian akademik sekolah semata-mata. Setiap sekolah ditadbir oleh individu yang berbeza walaupun berasaskan kepada dasar pendidikan yang sama. Justeru itu aplikasi dasar pendidikan juga dipengaruhi oleh kecenderungan dan kefahaman pihak pentadbir sekolah yang berbeza-beza. Ditambah pula misi dan visi sekolah yang berbeza walaupun matlamatnya hampir sama, yang mana berada di dalam bidang kuasa pentadbir sekolah. Setiap sekolah pula mempunyai peraturan-peraturan tertentu yang tersendiri bagi mencapai misi dan visi masing-masing.

Oleh itu, perlulah selidiki latar belakang sekolah dahulu sebaik mungkin untuk memastikan sekolah berkenaan akan dapat menyumbang ke arah pembangunan IQ, EQ dan SQ anak-anak selaras dengan falsafah pendidikan negara bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.

Kesimpulannya, pemilihan sekolah yang baik perlu mengambil kira persekitaran sekolah, para personel yang mentadbir, dasar yang diamalkan oleh sekolah tersebut di samping kewibawaan kakitangan akademik. Hakikatnya, pencapaian akademik yang cemerlang pada peringkat awal seperti UPSR, SRU dan PMR memberi peluang yang lebih luas kepada ibu bapa dan anak-anak untuk memilih sekolah yang baik bagi meneruskan persekolahan demi mengejar cita-cita.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

” Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. “

Share/Save/Bookmark

 
 

Tags: , , , ,

Comments are closed.