RSS
 

SOALAN BOCOR PEPERIKSAAN UPSR, CALON PERLU DIBERI MOTIVASI

27 Sep

Kebocoran soalan peperiksaan UPSR bukannya pertama kali berlaku. Walau bagaimanapun ianya adalah pada tahap yang sangat minimum dan tidak meluas. Namun pada peperiksaan UPSR 2014, sejarah hitam kebocoran soalan telah berlaku yang tidak mungkin dilupakan terutama bagi calon-calon peperiksaan UPSR.

Kebocoran soalan berlaku akibat daripada adanya pihak-pihak yang tidak amanah. Kalaupun tidak wujud unsur rasuah, namun tahap integriti yang rendah individu-individu tertentu telah melumpuhkan kredibiliti Lembaga Peperiksaan dan perjalanan UPSR 2014.

Kemungkinan mereka yang terlibat berniat untuk membantu murid-murid memperolehi gred yang lebih baik atau menaikkan nama sekolah. Namun, cara yang dipilih adalah salah dan tidak bertanggungjawab. Kebocoran soalan di kalangan murid-murid tertentu sama sekali tidak adil, justeru peperiksaan semula perlu dijalankan walaupun kerajaan terpaksa menanggung belanja yang besar.

Akibat daripada kebocoran soalan, para calon terpaksa mengulangi semula peperiksaan. Calon-calon akan berasa tertekan kerana sepatutnya mereka telah ‘merdeka’. Sebaliknya, mereka terpaksa mengulangkaji lagi pelajaran untuk menghadapi peperiksaan ulangan.

Mungkin persiapan calon-calon kali ini tidak sehebat peperiksaan yang pertama. Ini adalah kerana mereka mulai mempertikai integriti individu-individu yang terlibat dengan soalan-soalan peperiksaan. Tidak mustahil kebocoran masih boleh berlaku sekiranya proses dan tahap keselamatan soalan tersebut masih lagi pada tahap yang sama. Oleh itu, ‘mood’ belajar mereka akan jatuh.

Manakala ibu bapa tertekan kerana perlu mengulangi semula persiapan membantu anak-anak yang bakal menduduki semula peperiksaan UPSR. Tempoh masa yang dijangka selesai untuk menumpukan perhatian kepada peperiksaan anak terpaksa dipanjangkan sehingga peperiksaan ulangan selesai. Seolah-olah masa yang diperuntukan untuk membantu anak-anak sebelum ini membazir begitu sahaja.

TINDAKAN PERLU

Ibu bapa perlu memberi sokongan moral kepada anak-anak yang bakal menduduki semula peperiksaan UPSR. Kekecewaan paling dalam buat mereka yang menjalani peperiksaan dengan penuh persiapan, tetapi perlu menduduki peperiksaan ulangan.

Pihak sekolah dan para guru perlu mengadakan program khas untuk memulihkan semula ‘mood’ belajar murid-murid terlibat. Pihak sekolah perlu meyakinkan murid-murid yang terlibat bahawa peristiwa soalan bocor tidak akan berulang.

Pihak kementerian perlu segera memastikan proses penyediaan soalan lebih ketat dan bebas daripada kebocoran. Mengembalikan semula kepercayaan pelajar kepada sistem peperiksaan, bukan sahaja calon-calon UPSR malah semua calon PT3, SPM, STPM dan lain-lain lagi dalam masa terdekat. Sekiranya tidak, ‘mood’ belajar mereka akan merosot dek keyakinan terhadap integriti pengendali soalan yang semakin lemah.

P/s: Jangan peperiksaan ulangan pun bocor juga…

JADUAL PEPERIKSAAN ULANGAN:

30.9.2014 : Sains dan Bahasa Inggeris

9.10.2014 : Matematik dan Bahasa Tamil

Share/Save/Bookmark

 
 

Tags: , ,

Leave a Reply