Dewasa ini, ramai anak-anak meninggalkan kampung halaman, samada menyambung pelajaran ke IPT atau berkerja di luar daerah asal mereka. Tidak kurang juga di antara mereka meninggalkan kampung halaman dan ibu bapa kerana memasuki sekolah berasrama sejak tingkatan 1 lagi. Isu yang selalu timbul adalah anak-anak jarang balik ke rumah atau menghubungi ibu bapa yang jauh di kampung.
Apa yang lebih membimbangkan, apabila anak berpisah terlalu awal, pengaruh kawan lebih kuat berbanding pengaruh ibu bapa. Oleh itu jika hubungan ibu bapa dan anak tidak erat, anak tidak akan merindui ibu bapa. Justeru mereka lebih selesa berkongsi segala masalah yang dihadapi dengan rakan sebaya. Situasi ini menyebabkan ibu bapa tiada peluang membendung masalah anak daripada menjadi lebih serius khususnya masalah anak remaja.
Satu petua mujarab bagi membuatkan anak-anak sentiasa ingat kepada ibu bapa adalah melalui masakan kegemaran mereka. Tidak melibat kos yang banyak tetapi akan memberi kesan jangka panjang yang sangat bernilai buat ibu bapa.
Pastinya setiap ibu mengetahui apakah makanan kegemaran si anak. Malah si ibu juga sangat tahu apakah makanan kegemaran si ayah J. Ini merupakan satu peluang buat si ibu mencipta tarikan supaya anak-anak amat merindui ibu bapa walaupun setelah mereka dewasa kelak.
Sejak anak-anak masih kecil lagi, si ibu dapat mengenalpasti apakah makanan kegemaran anak-anak. Sejak itu juga ibu atau bapa patut melayan anak-anak dengan masakan kegemaran mereka yang dimasak sendiri oleh ibu atau bapa. Sekiranya ‘resepi ibu’ tersebut tinggi kosnya, bolehlah dijarangkan sedikit dan sekiranya makanan itu melibatkan kos yang rendah, maka bolehlah dibuat lebih kerap.
Sambil memasak, sebaiknya berzikir ‘ya latif’ sebanyak-banyaknya dengan niat menghadiahkan kepada anak-anak agar hati mereka lembut dan mudah menerima perkara yang baik-baik. Zikir ini tidak terhad ketika memasak sahaja tetapi boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Masakan kegemaran anak-anak berupaya menjadi ‘umpan’ untuk mengikat kerinduan terhadap ibu bapa dalam jangka panjang. Di samping itu ibu bapa dapat memantau perkembangan anak-anak dengan mudah serta berpeluang memberi nasihat. Doa berterusan ibu bapa diperlukan untuk menjayakan setiap hasrat ibu bapa. Wallahu ‘alam…