Ibu bapa mana yang tidak risau melihat anak-anak mengalami keadaan takut sewaktu dalam tidur. Ada pula ibu bapa yang meminta bantuan bomoh untuk mengatasinya. Namun mimpi ngeri dan mengigau merupakan perkara biasa yang boleh terjadi kepada anak-anak kita.
Kanak-kanak yang berumur antara umur 3-5 tahun, kerap kali didapati bercakap dalam tidur atau mangalami mimpi yang menakutkan. Sebenarnya, mereka sedang mengalami proses membesar dan juga pada peringkat umur tersebut, mereka belum faham sepenuhnya akan dunianya.
Anak-anak pergi tidur dengan banyak persoalan yang bermain di dalam fikiran, tetapi belum terjawab. Tingkah laku mereka juga lebih banyak dipengaruhi oleh perasaan. Pada peringkat ini mereka sudah tahu merasa takut atau dapat merasa sesuatu yang tidak kena. Perasaan inilah yang timbul pada malam hari.
Seringkali kanak-kanak tidak dapat menceritakan mimpinya, malah mereka sukar hendak tidur kembali. Berbagai bentuk kemungkinan mimpi yang menakutkan, dia mungkin bermimpi dikejar binatang buas, orang yang hodoh atau terlibat dalam kebakaran atau sebagainya. Hanya jika terjaga barulah anda perlu memujuknya dan mendakapnya. Jika dia tidak terjaga, jangan buat apa-apa, duduklah sahaja di sisinya.
Jika anak anda sering berjalan dalam tidur, awasi mereka sebaiknya bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku. Pasangkan penghalang pada tangga, kunci rumah disimpan dengan baik atau berbagai bentuk langkah-langkah keselamatan yang sesuai perlu diambil untuk mengelakkan berlakunya perkara buruk.
Meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dapat meningkatkan keyakinan mereka serta mengurangkan masalah ketakutan mimpi ngeri.