Hari ini, 23 Mac 2011, keputusan peperiksaan SPM 2010 telah keluar dengan rasminya. Sesiapa yang terlibat, tentunya berdebar-debar untuk mengetahuinya. Bukan sahaja para pelajar yang menduduki peperiksaan, malah ibu bapa, keluarga terdekat, sahabat dan ramai lagi yang ternanti-nanti keputusan peperiksaan diumumkan.
Keputusan keseluruhan yang baru sahaja diumumkan, dikatakan keputusan terbaik dalam tempoh 4 tahun, menurut Datuk Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Seramai 368,559 calon berjaya memperolehi sijil berbanding 364,046 calon pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,239 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia berjaya mendapat keputusan gred cemerlang berbanding 7,987 pada 2009 yang lalu. Di samping keputusan yang boleh dibanggakan bagi tahun ini, lebih 2000 pelajar memperolehi semua G (gagal) ![]()
Bagi ibu bapa kepada pelajar yang terlibat, walau apapun keputusan SPM anak mereka tentunya sudah mula mengatur strategi yang sesuai untuk mengarah masa depan anak-anak lepasan SPM demi mengejar cita-cita. Namun ramai juga ibu bapa yang tidak tahu untuk merancang ke mana arah tuju anak-anak mereka selepas ini.
Pengetahuan yang kurang di kalangan ibu bapa, menyebabkan ada anak-anak yang tidak mendapat peluang terbaik untuk menggilap potensi bagi mencapai kejayaan yang sepatutnya. Sementara itu, beribu-ribu lepasan SPM tahun-tahun lalu yang masih mencari-cari peluang yang sesuai, merupakan pesaing kepada calon-calon yang baru memperolehi keputusan SPM. Malah masih ramai lepasan SPM yang memiliki keputusan cemerlang tetapi masih belum mendapat tempat di universiti.
Ibu bapa dan pelajar perlu mendapatkan maklumat yang cukup dan tepat supaya keputusan yang tepat dapat dibuat bagi menentu arah tuju anak-anak lepasan SPM.









