RSS
 

Archive for December 19th, 2014

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PT3; KE MANA HALATUJU PELAJAR SETERUSNYA

19 Dec

Musim menerima keputusan peperiksaan penting seperti PT3, SPM dan lain-lain seumpamanya akan kembali lagi. Perasaan berdebar-debar bukan sahaja dirasai oleh para calon tetapi juga oleh ibu bapa. Malah ibu bapa tertanya-tanya, kemanakah hala tuju anak-anak selepas ini.

Bagi calon yang memperolehi keputusan cemerlang, pastinya tawaran akan datang mencurah-curah. Namun hakikatnya, bilangan yang kurang cemerlang adalah lebih ramai. Lantaran mereka terpaksa bersaing untuk memilih kursus yang diminati, apatah lagi untuk memperolehi biasiswa.

Namun, masa depan anak-anak tidak boleh disandar kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Ada di antara anak-anak yang tidak mampu cemerlang dengan akademik tetapi mempunyai kecenderungan di dalam bidang-bidang kemahiran tertentu.

Malah ramai juga orang yang berjaya bukan daripada kalangan orang yang cemerlang akademik. Sebaliknya mereka meneroka dan mendalami bidang kemahiran yang mereka minati di institusi-institusi yang tertentu. Walau bagaimanapun, semuanya perlukan perancangan yang baik.

Ibu bapa perlu mempunyai maklumat yang cukup untuk membantu anak-anak membuat keputusan, membuka jalan dan memberi peluang menemukan anak-anak kepada saluran yang tepat. Apatah lagi pada ‘Zaman On-line’ ini, para calon dan ibu bapa perlu lebih peka dan ’updated’ agar anak-anak tidak terlepas peluang yang sepatutnya. Dapatkan maklumat yang lengkap berkaitan saluran dan bidang-bidang vokasional yang berpotensi.

Program teknik dan vokasional merupakan salah satu bidang bukan akademik yang mampu melahirkan tenaga mahir yang penting kepada negara. Oleh itu anak-anak yang kurang cemerlang akademik tidak perlu membuang masa. Mereka boleh terus mengambil peluang bidang teknik dan vokasional selepas peringkat PT3.

Tindakan awal memasuki bidang kemahiran lebih menguntungkan berbanding meneruskan sehingga tingkatan 5 dengan pencapaian akademik yang tak seberapa. Malah mereka terpaksa bersaing pula dengan segelintir pelajar yang bijak tetapi sengaja memilih bidang kemahiran untuk jaminan kerjaya, yang mana mereka ini mampu meneruskan di bidang akademik tetapi meragui peluang kerjaya.

Kolej Vokasional adalah salah satu platform yang sesuai untuk lepasan PT3. Apa yang lebih penting adalah pemilihan bidang hendaklah berdasarkan MINAT + PROSPEK masa hadapan selaras dengan peluang kerjaya. Pelajar boleh merujuk kepada kaunselor sekolah masing-masing untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan lebih tepat.

# Permohonan Kemasukan ke Kolej Vokasional: Syarat kelayakan dan kursus-kursus yang ditawarkan;

http://apps5.moe.gov.my/sptv/kvsmt_2015/

# Pendaftaran pelajar tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh

http://apps5.moe.gov.my/permohonansst4/spat4_2015/

# Penajaan Pengajian Tinggi

http://www.moe.gov.my/v/penajaan-SPT

Share/Save/Bookmark